News!!

Kemelut FIC, Isa Samad ditahan

PUTRAJAYA, 16 OGOS 2017 – Bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini semalam bagi membantu siasatan berhubung kes pembelian dua buah hotel di London, United Kingdom dan di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Mohd. Isa, 68, yang menjadi individu ke-10 ditahan pada pukul 4.24 petang iaitu selepas kira-kira sejam 44 minit beliau memberi keterangan kepada pasukan penyiasat di Ibu Pejabat SPRM.

Terdahulu, Mohd. Isa yang juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tiba di Ibu Pejabat SPRM pada pukul 2.40 petang dengan diiringi beberapa peguam. Bagaimanapun, Mohd. Isa kemudian dilihat memasuki pejabat agensi penguatkuasaan tersebut seorang diri.

Mohd. Isa yang dilantik sebagai Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 19 Jun lalu hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung kes pembelian dua buah hotel mewah oleh FIC di Kensington, London dan Hotel Merdeka Palace & Suites di Kuching antara tahun 2014 dan 2015 itu.

Sebelum masuk ke Ibu Pejabat SPRM, Mohd. Isa sempat berseloroh dan bertanya khabar kepada jurugambar dan pemberita yang menunggu kehadiran beliau sejak tengah hari.

“Perlu ambil gambar lagi ke? Apa khabar semua,” tanya Mohd. Isa sebaik turun dari kenderaan utiliti sukan Toyota Lexus berwarna hitam.

Semalam merupakan kali kedua, Mohd. Isa dipanggil SPRM bagi memberi keterangan. Pada 22 Jun lalu, Mohd. Isa dan isterinya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid turut hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini bagi memberi keterangan berhubung kemelut dalam FGV.

SUMBER: KOSMO

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: