News!!

Hati-hati sertai korban luar negara

KUANTAN 12 Ogos 2017 – Orang ramai, khususnya umat Islam dinasihatkan supaya berhati-hati menyertai ibadah korban di luar negara dengan meneliti tawaran pihak penganjur ekoran terdapat penawaran harga lebih rendah untuk satu bahagian haiwan korban di sana berbanding yang dilakukan di negara ini.

Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Salkukhairi Abd Sukor berkata, tawaran tersebut sememangnya baik kerana memberi alternatif kepada umat Islam terutama kurang berkemampuan dari segi kewangan namun bimbang jika ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan terhadap mereka yang teruja untuk menyertai ibadah tersebut.

Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Salkukhairi Abd Sukor

Jelasnya, hari ini orang sanggup menggunakan imej dan nama agama semata-mata untuk menipu di atas keterujaan umat Islam untuk melaksanakan sesuatu ibadah yang ditetapkan oleh Islam.

“Dengan itu, kita harus memastikan badan atau organisasi yang ingin menganjurkan ibadah korban di luar negara adalah satu entiti berdaftar dari segi undang-undang, sama ada berdaftar sebagai satu pertubuhan, syarikat mahupun perbadanan.

“Sebaik-baiknya elak daripada menyertai ibadah korban di luar negara yang dianjurkan individu tidak kita kenali secara langsung sebelum ini.

“Selain itu, semak juga pengalaman dan kemahiran mereka dalam menganjurkan program korban di luar negara itu, sebaik-baiknya cari penganjur berpengalaman dan terbukti mempunyai rekod baik dalam menganjurkan ibadah ini termasuklah dalam selok-belok pelaksanaannya di sesebuah negara,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Tambah beliau, kajian juga perlu dilakukan terhadap penganjur dan memastikan dokumen hitam putih disertakan sebagai aqad bertulis sebelum tindakan susulan dilakukan terutama melibatkan pembayaran.

Dalam pada itu, menurutnya, kerajaan turut digesa membuat satu peraturan mewajibkan penganjur ibadah korban di luar negara mendaftar dengan pihak berkuasa yang berkenaan dan mereka akan diberikan lesen khas untuk melaksanakannya.

“Saya juga menyarankan supaya ada baiknya dilaksanakan sebagaimana peraturan dibuat kepada agensi-agensi yang menawarkan pakej umrah kepada umat Islam dengan tujuan memastikan hanya pihak-pihak yang sah dan berkelayakan dibenarkan menganjurkan ibadah korban di luar negara.

“Ia sebagai langkah pemantauan supaya tidak ada pihak mengambil kesempatan ke atas umat Islam dalam perlaksanaan ibadah tersebut. Hal ini bukanlah berniat menakut-nakutkan umat Islam atau menyusahkan pihak penganjur tetapi peringatan kepada orang awam agar lebih berhati-hati dengan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya.

“Ramai yang sanggup lakukan apa sahaja demi wang dan melalui peningkatan kesedaran umat Islam untuk melaksanakan ibadah korban ini, ditambah pula dengan harga bahagian korban yang semakin meningkat dari tahun ke tahun, tak mustahil ada pihak sanggup menangguk di air keruh,” katanya.

 

– SINAR HARIAN –

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: