News!!

20 pelajar senior belasah dua junior, seorang pengsan

Gambar Astro AWANI
KUALA TERENGGANU,  8 OGOS 2017: DUA pelajar kolej vokasional di Kuala Nerus cedera selepas mendakwa diserang kira-kira 20 pelajar lain dalam kejadian di sekolah berkenaan pada awal pagi hari ini.
Akibat tindakan tidak berperi kemanusiaan itu, pelajar semester satu Jurusan Teknologi Elektronik, Ahmad Zikrill Azim, 16, yang juga atlet boling Terengganu lebam pada badan dan dua kali pengsan manakala rakannya, Wan Ahmad Faris Zakaria, 16, cedera di kaki dan calar di badan.

Dalam kejadian di asrama sekolah berkenaan kira-kira 1.30 pagi itu, Ahmad Zikrill yang sedang tidur tiba-tiba diselubung dengan selimut oleh kumpulan pelajar dipercayai senior sekolahnya sebelum dibelasah.

Mangsa hanya mampu meraung kesakitan. Pelajar lain yang melihat kejadian itu diarahkan supaya berdiam diri serta tidak campur tangan.

Kumpulan itu kemudiannya bertindak memukul Wan Ahmad Faris selepas pelajar berkenaan terjaga dari tidur berikutan bunyi bising.

Ahmad ZikrilI terpaksa dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu apabila pengsan ketika disoal siasat polis berkaitan kejadian itu selepas keluarganya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira 3.30 petang tadi.

Menurut mangsa kedua, Wan Ahmad Faris Wan Zakaria,16, kejadian berlaku antara jam 11.30 malam Isnin dan berlarutan hingga awal pagi Selasa.

“Pada mulanya mereka hanya membelasah Ahmad Zikrill tetapi selepas terdengar bunyi bising, saya terus terjaga daripada tidur. Sebaik bangun didapati mereka sedang menutup muka Ahmad Zikril menggunakan selimut dan membelasahnya sehingga dia tidak bermaya.

“Apabila menyedari saya sudah terjaga, mereka turut membelasah saya hingga menyebabkan saya muntah dan tidak mampu untuk berdiri selain kecederaan di kaki serta belakang badan,” katanya.

Wan Ahmad Faris berkata kumpulan senior memukul, menumbuk serta memijak rakan sebiliknya selama hampir sejam. Pelajar senior terbabit kemudianya turut memukul dan menendang kakinya serta memijak bahagian belakang badannya.

“Dia pukul sebab pelajar lain tuduh kami degil dan sombong. Perkara itu diperbesarkan dan kami juga dikatakan tidak solat walapun sudah dikejutkan dari tidur,” katanya.

Pelajar senior berkenaan juga mengugut akan melakukan lebih teruk sekiranya kejadian itu diadukan kepada pihak pengurusan.

Bagaimanapun, salah seorang pelajar memaklumkan kejadian berkenaan kepada sepupu mangsa yang juga penuntut tingkatan tiga kolej itu yang kemudian melaporkan kepada pihak pengurusan.

Sementara itu ibu mangsa Sofea Abd Ghani, 43, berkata dia bergegas ke kolej berkenaan sejurus  menerima panggilan telefon daripada pihak pengurusan.

Pada mulanya dia menyangkakan anak keempat daripada enam beradik itu melakukan kesalahan. Bagaimanapun, dia terkejut apabila melihat keadaan anaknya yang lemah dengan kesan lebam di seluruh badan.

“Namun sangkaan saya meleset selepas penyelia asrama menunjukkan badan anak saya akibat dipukul pelajar yang lain…saya memang terkejut dengan keadaan anak lemah dan tidak bermaya.

“Pihak sekolah meminta ibu bapa berbincang namun saya tetap ingin melaporkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Menurut Sofea, dia mengambil keputusan membuat laporan polis setelah merasakan kejadian itu dipandang remeh meskipun anaknya terpaksa ditahan di HSNZ untuk rawatan lanjut. Ibu tunggal itu berkata laporan polis dibuat bagi memberi peringatan dan pengajaran kepada pelajar lain.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Dua sahabat itu mendakwa bukan saja ditumbuk dan ditendang beramai-ramai dalam keadaan muka ditutup dengan selimut malah turut dihempap.

SUMBER: Astro Awani, HMetro

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: