News!!

Ibu tunggal pembantu klinik pencuri gelang emas berjaya ditangkap

 

Ramai juga yang seolah olah ‘merestui’ perlakuan wanita yang masih mempunyai pekerjaan ini atas alasan tekanan hidup. Namun wajarkan ini semua terjadi? Sesungguhnya matalamat tidak menghalalkan cara.

KAJANG: Wanita yang melarikan seutas gelang tangan emas bernilai RM10,000 di sebuah kedai emas di Bangi Gateway, Bandar Baru Bangi, 5 Ogos lalu, akhirnya berjaya ditahan, sehari selepas kejadian.

Suspek yang juga janda beranak satu berusia 28 tahun itu ditahan di kediamannya di Sungai Merab Tua di sini, kira-kira jam 6.15 petang, susulan siasatan dan risikan yang dijalankan.

KAJANG 08 AUGUST 2017. Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof (kiri) menunjukkan gelang emas yang telah digadai antara sebahagian barang-barang yang diperoleh daripada tiga kes samun ketika sidang media berhubung kes dadah dan jenayah di Ibupejabat Polis Daerah Kajang. NSTP/FARIZ ISWADI ISMAIL.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata siasatan mendapati suspek yang bekerja sebagai pembantu klinik itu sempat menggadaikan barang kemas sejurus melarikannya.

“Suspek mengaku menggadaikan gelang emas itu di sebuah kedai pajak gadai di sini (Kajang) dengan nilai RM6,000 atas alasan desakan hidup.

“Suspek juga sempat membelanjakan sebahagian wang itu untuk membeli barangan rumah dan baki wang berjumlah RM4,350 kita temui di rumah suspek,” katanya dalam sidang media di sini, tadi.

Katanya lagi, semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah dan keputusan ujian saringan air kencingnya juga negatif.

“Hasil siasatan juga kita berjaya mendapatkan semula barang kemas terbabit dari kedai pajak gadai berkenaan, semalam.

“Suspek yang mempunyai seorang anak perempuan berusia lima tahun direman empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, suspek pada mulanya berpura-pura bertanyakan harga seutas rantai tangan dengan seorang jurujual wanita di kedai emas terbabit dan meminta untuk mencubanya.

Selepas memakai rantai tangan itu, suspek meminta jurujual terbabit mengeluarkan seutas lagi rantai tangan yang lain dan sekali lagi dia mahu mencuba memakainya.

Jurujual terbabit mengambil semula rantai tangan pertama dan menyerahkan rantai tangan kedua kepada suspek untuk dicuba.

Selepas jurujual menyimpan semula rantai pertama ke dalam ruang pameran dan sedang mengira harga rantai tangan kedua, suspek terus bergegas keluar dari kedai dan melarikan diri bersama barang kemas itu.

Jurujual cuba mengejar wanita itu namun gagal.

 

Sumber : PDRM, BHARIAN

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: