News!!

Guna VSP bantu cegah jenayah – Polis

TAJUDIN MD ISA

KUANTAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahu lebih ramai orang awam mendaftar aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi memudahkan kerjasama antara mereka dan pihak berkuasa itu dalam mencegah kes jenayah di kawasan masing-masing.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Tajudin Md Isa, berkata kadar pendaftaran aplikasi berkenaan masih berada pada tahap kurang memuaskan selepas lima bulan dilancarkan.

Beliau berkata, setakat ini, cuma 660,000 pengguna yang mendaftar daripada sasaran seramai 3.5 juta pengguna yang mendaftar dalam aplikasi baru ini selepas ia dilancarkan.

“Kita dapati kadar pendaftaran aplikasi ini masih rendah dan jauh daripada sasaran yang kita tetapkan.

“Aplikasi ini adalah inisiatif baru selepas Rakan Cop bagi merancakkan aktiviti pengawasan dan pencegahan jenayah dalam kalangan masyarakat,” katanya pada sidang media selepas majlis lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Turut hadir Pemangku Ketua JPJKK Pahang, Asisten Komisioner Polis (ACP), T Raveendran.

Tajudin berkata, aplikasi di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu memberi kemudahan kepada pengguna telefon pintar untuk menyalurkan maklumat atau aduan dilengkapi gambar dan video mengenai kejadian jenayah yang berlaku di sekeliling mereka.

Katanya, orang ramai yang tidak mempunyai telefon pintar pula turut boleh menyalurkan maklumat melalui sistem pesanan ringkas (SMS) di talian Rakan Cop.

“Pengguna aplikasi ini hanya perlu berkongsi maklumat serta gambar dan video mengenai kejadian jenayah supaya lebih mudah untuk kita memberikan bantuan kepada mereka.

“Kita berharap semua pihak boleh bekerjasama dalam meningkatkan pendaftaran aplikasi berkenaan sekali gus bersama membantu PDRM dalam membanteras kes jenayah di negara ini,” katanya.

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: