News!!

Pondok tahfiz kelas A terbakar

Baling – Ahad, 6 Ogos 2017 @ 10:51 AM

 

PONDOK Tahfiz Al-Taqwa di Kampung Tengah, Teluk Teduri, Baling terbakar, 1.40 pagi hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Kedah, Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.04 pagi dan sampai ke tempat kejadian 10 minit kemudian.

Beliau berkata, 11 anggota diketuai Pegawai Kanan Bomba II, Jusuh Abdul Wahab dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling sebaik tiba didapati api sedang marak di tingkat atas pondok tahfiz kelas A berkenaan.

Katanya, anggota dan pegawai dari BBP Pengkalan Hulu turut membantu operasi memadam kebakaran.

Beliau berkata, api dapat dikawal dan operasi tamat pada 3.52 pagi dengan keseluruhan 50 peratus bangunan atas terbakar.

“Bomba menggunakan dua pancutan dan satu aliran untuk memadam kebakaran itu.

“Anggota mengambil masa 15 minit untuk mengawal api daripada merebak dan tidak ada kemalangan dilaporkan,”katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohamad Mustakim berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

PELAJAR Maahad Tahfiz Al Quran Wattarbiyyatul Islamiyah, Kampung Tengah, Titi Teduri, Mukim Pulai, Baling bersyukur kerana tiada insiden buruk menimpa mereka selepas pusat pengajian itu terbakar hari ini.

Difahamkan ketika kejadian, lapan pelajar tahfiz tidur di tingkat dua maahad tiga tingkat itu.

PELAJAR TERKEJUT DENGAR BUNYI LETUPAN

Pelajar, Mohd Hazwan Mohd Azha, 16, berkata, dia terjaga apabila mendengar letupan kuat.

“Saya terkejut kerana bunyi letupan kuat dan terpinga-pinga selepas terjaga dari tidur.

“Selepas itu bunyi kayu jatuh dan ternampak api di tingkat atas lalu saya kejut rakan lain dan kami cuba memadam api tetapi tidak terdaya lalu menjerit meminta tolong,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

ANGGOTA forensik Jabatan Bomba memeriksa lokasi kebakaran. FOTO Safuri Kamarudin

Menurutnya, suasana ketika itu kelam-kabut kabut dan rakannya melaungkan azan beberapa kali kerana terkejut dengan kejadian itu.

“Syukurlah kami semua selamat dan tidak ada kemalangan berlaku, malah pakaian dan al-Quran serta kitab-kitab tidak rosak kerana berada di tingkat bawah.

“Bomba bertindak cepat mengawal api daripada merebak dan menyelamat harta benda kami daripada musnah,” katanya.

Rakanya, Mohd Farid Zulkarnain, 12, dari Sungai Petani berkata, mereka terjaga apabila rakan menjerit memberitahu maahad terbakar dan bingkas bangun sebelum berlari turun untuk menyelamat diri.

Dalam kejadian 1.40 pagi itu, tingkat atas bangunan maahad itu musnah terbakar.

– HMetro

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: