News!!

Kes-kes terbaru – SPRM terus bertindak perangi rasuah

SEMBILAN kakitangan Pejabat Tanah dan Galian Pahang dibawa oleh anggota SPRM bagi mendapatkan perintah tahanan reman selama tujuh hari bagi kes perlombongan bauksit secara haram ke Kompleks Mahkamah Kuantan, semalam. – BERNAMA

KES 1
Beli hotel: Peguam, pembantu ditahan

SIMI ABDUL GHANI
SIMI ABDUL GHANI

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Dua lagi individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana dipercayai terlibat dengan pembelian sebuah hotel mewah di Kensington, London oleh Felda Investment Corporation.

Kedua-dua individu yang ditahan merupakan seorang peguam dan pembantu wanita ber­usia 44 dan 29 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4 petang di Ibu pejabat SPRM Putrajaya.

Menurut sumber, kedua suspek disyaki terlibat menguruskan pro­ses dokumentasi perjanjian jual beli di antara pemilik asal dan syarikat ketiga sebelum dijual kepada FIC.

Ujarnya, mereka merupakan individu yang berperanan dalam menyediakan dokumen de­ngan menerima bayaran men­­cecah belasan juta ringgit.

“Peguam ini pernah dipanggil SPRM sebelum ini untuk membantu siasatan namun be­liau menafikan pengli­batannya.

“Siasatan terperinci dijalankan mendapati keterangan suspek mencurigakan dan mendapati suspek adalah individu yang bertindak menyediakan segala urusan serta perjanjian syarikat terlibat,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan penaha­nan itu.

Ujar beliau, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan akan ada lebih ramai lagi individu yang akan ditahan selepas ini.

“Kedua-dua suspek ini akan direman di mahkamah Putrajaya esok untuk membantu siasatan,” jelasnya.

Semalam, satu pasukan penyiasat mengambil masa hampir tujuh jam hadir ke Menara Felda di sini bagi mengambil dokumen berkaitan kewangan pembelian hotel terbabit.

Perkara itu susulan penahan seorang bekas Pegawai Khas kepada Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang ditahan pada Selasa lalu.

Penahanan tersebut sekali gus menjadikan jumlah tangkapan meningkat kepada empat individu selepas tiga pengarah syarikat berusia 47 hingga 57 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes sama yang kini dalam tahanan reman sehingga esok.

 

SEMBILAN kakitangan Pejabat Tanah dan Galian Pahang dibawa oleh anggota SPRM bagi mendapatkan perintah tahanan reman selama tujuh hari bagi kes perlombongan bauksit secara haram ke Kompleks Mahkamah Kuantan, semalam. – BERNAMA

 

KES 2
Bauksit: 9 kakitangan PTG direman

KUANTAN 3 Ogos – Sembilan kakitangan Peja­bat Tanah dan Galian (PTG) negeri direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan setelah disyaki menerima rasuah bagi melindungi kegiatan perlombongan bauksit secara haram ke China melalui Pelabuhan Kuantan.

Kesemua suspek itu disiasat mengikut Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Terdahulu, Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan SPRM supaya kesemua suspek yang merupakan Penolong Penguat Kuasa PTG negeri dan berusia antara 29 hingga 59 tahun  direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 9 Ogos ini dikeluarkan oleh Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman. Pada prosiding tersebut, SPRM diwa­kili Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry.

Kesemua suspek ditahan dalam serbuan SPRM antara pukul 3.30 petang hingga 3.45 petang semalam di beberapa lokasi di seki­tar daerah ini kerana disyaki me­nerima rasuah daripada pelombong untuk melin­dungi kegiatan perlombongan bauk­sit secara haram.

Mereka ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti tersebut meskipun kerajaan mengenakan perintah moratorium sejak 15 Januari 2016 yang sepatutnya tamat pada 31 Disember ini.

Dalam operasi semalam, SPRM menyerbu pejabat PTG negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Pelabuhan Kuantan bagi merampas beberapa dokumen berkaitan.

Selain itu, SPRM menahan sebanyak 18 buah lori yang sedang mengangkut bauksit dari lombong-lombong haram di sekitar Felda Bukit Goh dan Felda Bukit Sagu tengah malam semalam.

Seorang pegawai kanan JKDM berusia 56 tahun turut ditahan dan telah direman semalam sehingga 8 Ogos ini.

 

MOHD. SHUKRI ABDUL RAHMAN

 

 

KES 3
COO Rapid Penang didakwa terima rasuah

PULAU PINANG 3 Ogos – Ketua Pegawai Operasi (COO) Rapid Penang, Mejar (B) Mohd. Shukri Abdul Rahman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah bernilai RM70,000 dua tahun lalu.

Mohd. Shukri, 54, didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Times Square, Jalan Dato Keramat di sini pada 20 April 2015.

Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku ejen syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) didakwa menerima suapan sebanyak RM70,000 daripada syarikat Jayonik MSC Sdn. Bhd. melalui akaun bank milik Nor Jamin Mustafa sebagai dorongan untuk mengeluarkan surat lantikan syarikat itu bagi beberapa projek bernilai RM8.4 juta.

Pertuduhan dikemukakan me­ngi­kut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Shukri Mohamad.

Hakim Norsalha Hamid membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 16 Ogos ini. Mohd. Shukri dibebaskan selepas membayar wang jaminan itu.

Di mahkamah sama, seorang anggota polis, Sarjan V. Ambualergan, 57, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta rasuah RM2,000 daripada Khor Ah Pin pada pukul 4 petang, 30 April 2016 di Balai Polis Jalan Patani sebagai dorongan untuk membuang kes dadah melibatkan Khor Yeong Chin.

Tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut turut didakwa menerima rasuah RM1,000 daripada Ah Pin bagi tujuan sama pada pukul 5 petang, 1 Jun tahun lalu di Kedai Makan Ah Theam, Jalan Perak, di sini .

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta tersebut, dibebaskan dengan jaminan RM8,000 berserta seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 24 September ini.

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: