Adenan berkata, kejadian dipercayai berlaku pada waktu malam ketika dia sekeluarga sedang tidur.

“Saya hanya menyedari tentang kejadian itu selepas seorang jiran yang terlihat kereta saya dipenuhi cat merah ketika dia ingin menunaikan solat su­buh di masjid berdekatan kira-kira pukul 5.45 pagi sebelum menghubungi saya.

“Sebaik menerima panggilan itu, saya dan isteri keluar serta mendapati dua buah kereta saya iaitu satu Proton Waja yang diletakkan di luar rumah dan sebuah lagi kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora di dalam pekarangan rumah di simbah cat merah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Adenan memberitahu, berikutan kejadian itu, beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9 di sini, pada hari kejadian kira-kira pukul 8 pagi.

“Saya tidak menolak kemungkinan kejadian ini ada kaitan dengan tugas saya sebagai seorang pegawai JPJ.

“Saya tidak ada hutang dengan mana-mana pihak termasuk ah long, mungkin ada pihak yang tidak berpuas hati de­ngan tindakan saya menjalankan tugas selama ini,” ujarnya.

Adenan menambah, kejadian itu juga adalah yang pertama kali dialaminya sejak berkhidmat dengan JPJ lebih 25 tahun.

“Ini adalah kali pertama kejadian se­perti ini berlaku terhadap saya, tetapi ini tidak akan mematahkan semangat saya untuk terus berkhidmat dengan pasukan JPJ,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kes itu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan individu yang melakukan ugutan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat,” ujarnya.

UTUSAN ON-LINE