News!!

Pendapat Mufti Perlis boleh menjurus menghalalkan zina, kata Mufti Perak

 

 

July 31, 2017

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata mana-mana pihak yang menyokong keputusan Mahkamah Rayuan dengan membenarkan anak tidak sah taraf tidak perlu dibin atau dibintikan dengan Abdullah boleh menjurus kepada menghalalkan zina pada masa akan datang.

Malah, kata Harussani, masyarakat di negara ini tidak harus mempertikaikan keputusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menetapkan mana-mana anak yang dilahirkan tidak saf taraf perlu dibin atau dibintikan Abdullah. Ini kerana, katanya ia jelas termaktub dalam perlembagaan dan diputuskan oleh pihak Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Pendapat baharu menjurus kepada menghalalkan zina, pendapat Mufti Perlis ini menghalalkan zina, benda yang diputuskan sejak berzaman tidak boleh ubah, sebab ia berasaskan al-Quran, hadis, ijmak ulama.

Kenapa kita nak melawan hadis? “Jadi saya harap ulama-ulama ini harus berhati-hati, kita pakai la ijmak yang telah dibuat berkurun lamanya, orang yang buat hukum bukan sebaranan tapi berasakan al-Quran dan hadis, ijmak dan juga kajian,” katanya.

Undang-undang lapuk Harussani mengulas keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan JPN bertindak di luar batasan kuasa apabila menggunakan nama “Abdullah” untuk mendaftarkan nama kanak-kanak luar nikah yang beragama Islam.

Selain memutuskan bahawa seorang anak yang dilahirkan di luar nikah boleh bin nama bapa, mahkamah rayuan yang dianggotai panel tiga hakim juga mendapati fatwa mengenainya oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuasa undang-undang.

Mengulas lanjut, Harussani, berkata keputusan mahkamah rayuan jelas membelakangkan agama Islam sedangkan Perlembagaan Persekutuan mengangkatnya sebagai agama rasmi negara.

Justeru, mufti Perak itu menasihatkan sesiapa sahaja di negara ini agar terus berpegang teguh kepada ajaran Islam dan tidak terpedaya dengan mana-mana perundangan selain undang-undang berkaitan Islam.

”Ikutlah pada Islam, apa yang berlaku itu lihatlah kepada undang-undang Islam bukan undang-undang sivil, atau undang-undang England yang sudah lapuk,” katanya.

“Dalam perlembagaan kita agama Islam yang dipakai, jadi kenapa mereka nak nafikan keputusan fatwa dan telah digazetkan, keputusan untuk mengikat pendaftaran (JPN), dia mengikat semua, itu sudah ada dalam perlembagaan, macam mana Mahkamah Rayuan sendiri tidak terikat dengan fatwa.

“Kita bukan menghina mahkamah tapi perbuatan itu tidak betul, keputusan Mahkamah Rayuan ini yang menghina Islam, menghina perlembagaan itu sendiri, menghina fatwa,” katanya.

 

SEMENTARA ITU, Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga akan memohon kebenaran untuk mencelah dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada bapanya.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata MAIS akan memohon kebenaran untuk mencelah, sebagai usaha untuk memelihara agama dan memartabatkan kedudukan undang-undang Islam di negara ini.
“Jawatankuasa Fatwa Selangor turut menyokong tindakan JPN yang masih merujuk kepada keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu pendaftaran bagi anak tidak sah taraf yang melibatkan orang Islam kerana berkaitan dengan Hukum Syarak.
“…dan sebab itu kita mohon dan mengalu-alukan tindakan JPN melalui Jabatan Peguam Negara untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Mohd Tamyes berkata keputusan membenarkan anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada bapanya itu bertentangan dengan hukum syarak seperti yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Mahkamah Rayuan dalam satu penghakiman pada 25 Julai lepas membenarkan rayuan yang dikemukakan pasangan yang memfailkan semakan kehakiman untuk memaksa Ketua Pengarah JPN menggantikan nama anak mereka yang berbin atau berbinti “Abdullah” dengan nama bapa kanak-kanak itu dalam sijil kelahiran.

SUMBER: MALAYSIAKINI

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: