News!!

Inilah berita berinspirasi yang harus kita viralkan

KUALA KETIL 09 JUNE 2017. (ASM967T) Mohd Ayssraf menunjukkan sebahagian topi keledar yang telah disiapkannya. STR/SABARUDDIN ABD GHANI

Perkongsian ini nampak macam biasa sahaja, namun ia membawa seribu makna dan boleh dijadikan sumber inspirasi kepada anak-anak muda.

Baling: Berbekalkan bakat yang dimiliki, bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik Satu (SMTS) Sungai Petani mentransformasikan topi keledar klasik era 60-an, 70-an dan 80-an dengan imej baru yang lebih menarik.

Topi keledar jenis itu yang semakin tersisih kini mempunyai nilai komersial menerusi sentuhan kreatif Mohd Ayssraf Azhar, 28, sekali gus si pemakainya tampak bergaya ketika menunggang motosikal di jalan raya.

Sekali pandang mungkin ada yang menganggap topi keledar buatan Mohd Ayssraf adalah berjenama dan mahal, tetapi hakikatnya ia jenis lama dan mampu dibeli sesiapa saja.

Menurut Mohd Ayssraf, faktor minat terhadap barang lama seperti motosikal, skuter, kereta, basikal dan topi keledar mendorong dia membaikinya dengan mengubah suai bentuknya termasuk disembur cat berkualiti.

“Saya bukan pembuat topi keledar seperti dihasilkan di kilang, cuma menambah baik dari segi warna, reka bentuk dan corak luaran cengkerang topi keledar lama dengan menggunakan cat semburan khas mengikut warna dikehendaki pelanggan.

“Untuk menghidupkan wajah baru topi keledar lama ini, memerlukan kemahiran dalam semburan cat, jahitan pelapik bahagian dalam cengkerang dan kesabaran kerana kerjanya agak rumit sebelum terhasil topi keledar klasik berwajah baru,” katanya ditemui di bengkelnya di Kampung Bukit Pak Kuning.

Perusahaan yang bermula tahun lalu dengan modal RM300 itu hanya memilih topi keledar King, Maru Shima, Shoei Monkey, Sidi, Arai dan Bell berikutan jenis itu masih digemari penunggang motosikal.

Mohd Ayssraf mengakui sukar mendapatkan topi keledar lama, namun kerana minat, dia sanggup menyelongkar tong sampah selain mencarinya di kedai barangan lusuh di merata tempat seperti di Kuala Ketil, Padang Serai dan Sungai Petani.

“Kebanyakan topi keledar dibeli di kedai besi buruk mengalami sedikit kerosakan seperti bercalar, warna pudar dan retak.

“Ramai menganggap ia menyemakkan saja jika disimpan di rumah tapi keadaannya berubah dan setanding topi keledar kontemporari selepas dibaik pulih,” katanya.

Mohd Ayssraf berkata, seunit topi keledar itu dijual pada harga RM90 hingga RM350, namun boleh melebihi had harga maksimum itu jika pelanggan mahukan reka bentuk tersendiri dan cat metalik yang nampak lebih cantik dan menarik.

Artikel ini disiarkan HMetro pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 6:46 AM

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: