News!!

Umat Islam Sedang Ditelanjangkan, Tanpa Pakaian Di Akhir Zaman

Umat Islam Sedang Bertelanjang, Kita Perlukan Pakaian Yang Allah Turunkan dari Langit

(Bacaan berat yang perlukan akal dan iman dihujung syawal)

Masyarakat kita sudah terlalu banyak aibnya. Kita perlukan ‘pakaian’ untuk menutupi segala kehinaan dan melindungi kita dari kerosakan terhadap agama yang telah dibuat oleh umat zaman ini. Jahiliyah telah menodainya sehingga ramai sekali yang sanggup membelakangkan hukum hakam agama.

Adakah pakaian yang disarungkan ke batang tubuh kita mampu menyelamatkan kita dari maksiat dan dosa? Mampukah pakaian itu melindungi anak cucu kita dari bahaya dan bencana? Atau adakah pakaian itu dapat menjaga maruah dan kehormatan diri kita? Justeru apakah dia sebaik-baik pakaian di sisi Allah?

Apa Itu Mutasyabihat Pakaian Dalam Islam?

Firman Allah dalam surah Al-A’raf: Ayat 26,

يٰبَنِىٓ ءَادَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوٰرِى سَوْءٰتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوٰى ذٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذٰلِكَ مِنْ ءَايٰتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

“Wahai bani Adam! SESUNGGUHNYA Kami telah ‘menurunkan’ atas kamu PAKAIAN yang menutupi aib/keburukanmu dan sebagai perhiasan. Dan ‘pakaian TAQWA’ itulah yang lebih baik. Demikianlah sebagian tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka ZIKIRKAN.”

Sebenarnya Allah telah menurunkan kepada kita SISTEM ISLAM. Itulah ‘sistem kehidupan’ yang perlu kita ‘PAKAI’. Semuanya telah terMAKTUB di dalam KITAB Nya dan telah Allah TETAPKAN agar kita ber‘TAQWA’ terhadap TAQWIM agama Nya jika ingin hidup terpelihara lagi sejahtera. Contoh perlaksanaan wahyu itu juga telah ditunjukkan melalui Sunnah para Rasul-Nya. Maka BERTAQWA dengan TAQWIM dari sistem ISLAM itulah yang sepatutnya menjadi ‘PAKAIAN’ kita dalam mengatur diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia.

Sifat-sifat TAQWA inilah yang menjadi elemen penting yang menjamin keberhasilan dan kejayaan dalam setiap kerja buat kita. Itulah KOMITMEN dan istiqomah terhadap TAQWIM dan perancangan berteraskan agama. Komitmen kita terhadap perintah Allah itulah yang menjamin kita terpelihara dari keburukan nafsu buas diri kita.

Cara Hidup Jahiliyah Sanat Mengaibkan Dan Memudaratkan

umrah

Sebelum Rasulullah menerima wahyu, cara hidup masyarakat tidak memakai peraturan dan sistem berteraskan agama yang ‘sebenar’. Mereka JAHIL dan suka mengikuti hawa nafsu yang tidak kenal halal haram dalam semua perkara. Harta, takhta dan wanita (UZZA, LATTA, MANNA) menjadi SEMBAHAN yang amat mengaibkan serta menghancurkan hidup mereka.

Ilmu yang haq tentang SISTEM hidup BERAGAMA yang pernah Allah turunkan sebelum itu sudah tiada yang tahu atau mahu ambil tahu. Masyarakat jahiliyah hanya ‘memakai’ pakaian yang sudah kotor, mereput dan lusuh. Itulah adat dan cara hidup nenek moyang yang sudah jauh dari ‘teras’ dan asas agama namun terus menerus di’pakai’ juga. Tiada yang tersedar untuk mengkaji baik burukannya kerana ketiadaan petunjuk yang mampu membezakan antara hak dan batilnya.

Kerana itulah masyarakat jahiliyah Mekah digambarkan melakukan amalan haji dalam keadaan telanjang. Tidak ada pakaian atau sistem agama sebenar untuk melindungi kefahaman mereka dalam beribadah. Mereka ‘mabuk’ dalam beribadah kerana ketiadaan kefahaman itu sehingga ‘perhimpunan ibadah’ mereka hanya sekadar menjadi acara ‘riuh rendah’ sahaja.

Allah gelar solat mereka hanya sekadar siulan dan tepukan tangan (QS 8, al-Anfal: Ayat 35). Ada gerak tubuh/tangan, namun sekadar suatu keriuhan tanpa meninggalkan kesan. Ada bunyi dari bibir namun tiada MAKNANYA kerana apa yang dibaca dalam solat seumpama siulan yang tidak difahami maksudnya. Jauh sekali untuk mematuhi apa yang sedang mereka ‘baca’. Kerana itu Allah gelar solat mereka sebagai solatnya orang yang MABUK.

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan,..” (QS 4. An Nisaa’: Ayat 43)

Walaupun ada kitab-kitab terdahulu waktu itu, tetapi pengajian dan pengkajian tidak berlaku. Mereka hanya memilih ayat-ayat yang ‘menguntungkan’ mereka lalu dimanipulasi untuk dijadikan modal agama. Ayat-ayat yang menyusahkan atau tidak dapat difahami pelaksanaannya ‘dibiarkan’ begitu sahaja. Sebab itu Rasulullah SAW tinggalkan ‘mereka’ untuk memulakan proses IQRA’, iaitu KAJIAN SEMULA.

Masyarakat kita zaman ini jelas telah menampakkan tanda-tanda dan ciri-ciri yang sama. Ramai yang suka ikut-ikut suatu ajaran sama ada dari Barat mahupun Timur tanpa benar-benar IQRA’ tentang betul salahnya.

Budaya dan carahidup ‘luar’ yang merosakkan telah kita PAKAI sewenang-wenangnya sekali pun ia bertentangan dengan agama kita. Penyelewengan agama pula berlaku dengan amat berleluasa. Pelbagai ajaran sesat, kekeliruan fakta dan fatwa hukum telah banyak menfitnah agama. Ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang ‘lunak’ dijaja untuk mendapat keuntungan dunia. Ayat-ayat yang keras ‘disembunyikan’ dengan sengaja tanpa sebarang usaha untuk memahami dan melaksanakannya.

Nabi Menjahit dan Membasuh Pakaian?

Atas sebab di atas, maka Allah wahyukan Rasulullah SAW untuk membersihkan dan menjahit semula PAKAIAN umat Baginda. Bukanlah ‘pakaian’ biasa yang baginda ‘cuci dan jahit’ seperti kefahaman kita. Bukan seperti ‘telahan’ beberapa ustaz yang Nabi akan mencuci dan menjahit pakaian bila kebosanan ‘melanda’ baginda.

Sesibuk dan seberat tanggungjawabnya, masih ada masakah untuk Baginda melayani rasa bosan? Sebanyak manakah pakaian baginda sehingga sebegitu ramai isteri baginda tidak ‘mampu’ melakukannya?

Sebenarnya Nabi perlukan ‘pakaian baru’ secara mutasyabihat. Itulah pakaian yang tidak mampu dibuat oleh orang lain. Untuk itu, Baginda perlu menahan diri, ‘berpuasa’ dari ‘membeli’ pakaian jahiliyah. Pakaian lama yang lusuh dan koyak rabak pula perlu ditampal dan dibersihkan untuk pakaian sementara. Di samping itu, proses iqra’ giat berjalan sambil berpuasa untuk mengasingkan semula BENANG PUTIH dari BENANG HITAM sebelum menjahitnya menjadi PAKAIAN BAHARU.

Itulah pakaian dari wahyu Allah yang DIPAKAI SEPENUHNYA sebagai sistem hidup yang baharu. Masyarakat disucikan dengan meninggalkan segala tabiat dan habit buruk yang telah bersarang dalam jiwa untuk sekian lama. Baginda dan sahabat telah bangkit dari kehinaan yang mengaibkan menuju kemulian penuh sejahtera dengan MEMAKAI ATURAN Allah berdasarkan sebesar-besar ‘TAQWA’.

Dengan PAKAIAN BAHARU ini umat kembali fitrah untuk ‘berhari raya’ sebagai hamba yang merdeka dan sejahtera.

Kesimpulan

Hari ini masyarakat Islam sudah tidak kenal mana haq dan mana yang batil. Semuanya sudah bercampur aduk. Pakaian Islam yang putih bersih kini sudah berwarna warni, lusuh dan compang camping dengan segala macam kekotoran, kejahatan dan keburukan umat akibat kejahilan dan kedegilan.

Kerosakan umat sudah sampai ke tahap tidak masuk akal. Wanita bertudung, berjubah dengan wajah yang ‘innocent’ berterlanjangan di laman social tanpa rasa malu dan terhina dilihat ‘wajah sebenar’ mereka oleh berjuta manusia. Masing-masing kemaruk berkongsi gambar dan video lucah untuk dicanang ‘kehebatan’ mereka. Dari budak sekolah hingga ke universiti, dari yang bujang hingga bertaraf suami/isteri, yang muda, yang tua semuanya sama sahaja. Tubuh badan dijadikan modal untuk mengumpul follower dan bertukar-tukar pasangan buat melampias nafsu buas mereka.

Adakah pakaian luaran ini mampu menyelamatkan maruah anak bangsa jika yang bertudung dan berbaju sempurna pun sanggup melakukan perbuatan tercela? Pakaian yang dipakai hanya menjadi ‘camouflage’, sebagai penyamaran untuk menutupi kebejatan akhlak dan aib mereka sahaja.

Apalagi yang dapat diharapkan dari generasi yang langsung tidak kenal agama ini? Hidup berkeliaran membuat kerosakan tanpa sebarang halatuju di muka bumi.

LGBT, seks bebas, pornografi murahan di IG dan tumblr, serta segala macam budaya kuning yang sedang menular benar-benar telah merosakkan generasi kita. Semuanya adalah akibat kelekaan dan kelalaian kita membiarkan maksiat tidak dicegah bermula dari dalam unit keluarga. Begitu ramai bapa yang dayus dan ibu yang lalai masih tidur lena serta selesa membiarkan maksiat berlaku di dalam rumah mereka.

Bangkitlah, sedarlah betapa kita hari ini sangat perlukan PAKAIAN yang telah Allah turunkan dari langit. Itulah PAKAIAN yang telah menyelamatkan kaum Nabi Nuh, Luth, Ibrahim, Musa, Isa dan umat Muhammad SAW. Cari jalan dan berjihadlah mendalami ilmu agama yang sebenar-benarnya. Jangan mudah terpengaruh dan ikut-ikutan secara membabi buta.

Kepada yang ada pengaruh pula, HENTIKANLAH dari tabiat ‘mencipta’ cabang dan cambahan fahaman agama yang semakin bertambah jumlahnya. duduklah bermusyawarah dan hentikan tabiat cela mencela.

Kita sebenarnya sudah bangun dari tidur, sudah pun ‘nampak’ apa yang dinyatakan di atas dengan jelas. Malangnya kita memilih untuk duduk mencangkung, berkerubung dan termenung sahaja.

Firman Allah: “Hai orang yang berkerubung. Bangkitlah, lalu berilah peringatan! Dan agungkanlah pengaturmu, dan bersihkanlah PAKAIANMU, dan tinggalkanlah segala yang keji,” (Al-Muddassir: Ayat 2-5)

Inilah hakikat puasa dan sahur, hakikat qiamul-lail, lailatul qadar, nuzul quran, air beku, pokok tunduk, api tidak membakar, pasang pelita raya, berzakat fitrah, berbaju baru, bermaaf-maafan dan sebagainya.

Inilah proses IQRA’ tentang aturan dan pengaturan sempurna berpetunjukkan wahyu yang mampu MENJADIKAN semula MASYARAKAT MANUSIA dari sifat kebinatangannya.

Alhamdulillah,
WARGA PRIHATIN

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: