News!!

Kisah Benar Isu Pilih Kasih. Anak-anak Jadi Mangsa, Menantu Jadi Haru Biru.

Khilaf Yang Fatal Oleh Orang Tua

Ada banyak isu yang melibatkan khilaf orang tua yang suka pilih kasih dan membanding-bandingkan anak-anaknya.

Kali ini kami ingin petik dua contoh yang menjadi amalan biasa oleh orang tua dan akhirnya membawa kesan yang fatal pada mereka.

PERTAMA melibatkan sanjungan berlebihan terhadap anak yang ‘berada’. KEDUA adalah sikap ‘double standard’ dalam menangani konflik keluarga.

BERPADA-PADA MENYANJUNGI ANAK YANG ‘BERJAYA’

Di awal penubuhan RPWP yang melibatkan keputusan sukarelawan untuk berkhidmat sepenuh masa tanpa gaji, ramai yang mendapat tentangan dan penghinaan dari kalangan keluarga dan orang tua. Status sosial dan kesenangan dunia dijadikan ukuran untuk menghina dan memperkecil-kecilkan usaha mereka.

Apabila tiba musim raya, jumlah wang yang dihulur oleh anak yang berpangkat dan kaya, juga nilaian kereta dan harta benda sering dijaja.

Beberapa tahun selepas itu, apabila sang ayah dan ibu semakin tua dan anak-anak pujaan semakin berjaya, pelbagai kejadian sadis mula berlaku satu persatu.

Ada anak saudara yang ditegur perangai gediknya membentak apabila dinasihati. Lebih sedih lagi apabila teguran terhadap gelagat gedik mereka turut dibela oleh ibubapa dan nenek sendiri. Sukarelawan kami yang menegur malah dicerca kononnya mempunyai hasad dengki dan irihati atas kejayaan akademik anak saudara sendiri. Hari ini si gadis sudah pun hamil dan melarikan diri.

Ada kes ibu yang terlalu menyanjungi anak yang ‘berjaya’ terlantar sakit lalu memilih untuk tinggal menumpang di rumah anak kesayangannya buat sementara. Tidak sampai sebulan tinggal di situ pelbagai krisis timbul antara si Ibu dengan anak menantu dan cucu.

Sewaktu anak yang seorang lagi datang menziarahi, ibu tua yang sedang ‘makan hati’ ini menyatakan hasrat untuk tinggal ke rumahnya pula untuk seketika. Di hadapan suami, adik ipar dan anak-anaknya, sang isteri kepada anak pertama tadi dengan muka yang ‘semacam’ terus bersuara, “Kalau emak nak tinggal sana terus pun lagi baik sebab saya tak larat nak jaga emak !!”.

Anak kedua mendadak naik darah. Jika tidak kerana menghormati ibu, mahu saja ditampar kakak iparnya ini di depan suaminya yang ‘menunggul’ tidak berkata apa-apa melihat kebiadaban isterinya. Lalu sang ibu segera dibawa keluar dari situ. Sehingga hari ini beliau tidak mahu jejak rumah abangnya lagi.

Malang sekali nasib si ibu tua, sudah jatuh ditimpa tangga. Situasi yang sama terjadi juga di rumah anak ke dua. Akhirnya beliau yang masih sakit memilih untuk kembali pulang ke desa dan menjalani hidup sendirian di sana.

Sejak saat itu, hanya keluarga sukarelawan RPWP yang sudah tidak bergaji ini sahaja yang sering menziarahi dan menguruskan sakit pening ibu yang tinggal sendiri. Menyantuni dan merawat orang tua memang menjadi salah satu dari kerja rasmi kami di RPWP.

Anak-anak lain yang selama ini dibangga-bangga terus sibuk dengan kerja mereka tanpa menjenguk si ibu tua yang sedang sakit di desa. Lebih sadis lagi apabila mereka yang dahulunya ‘dipuja’ tidak pun pulang beraya. Kebiadaban terhadap ibu tua di rumahnya mungkin menjadikan mereka merasa tidak selesa untuk pulang beraya.

DENGAR DAHULU PENJELASAN DARI SEMUA ANAK-ANAK KITA SEBELUM MENGHUKUM MEREKA

Isu kedua ini melibatkan sikap pilih kasih dalam mengadili krisis jenayah seksual di kalangan anak dan menantu. Dipendekkan cerita, seorang anak gadis yang menumpang di rumah kakaknya semasa bersekolah telah cuba diperkosa oleh suaminya ketika si kakak tidak di rumah.

Adik yang jadi mangsa tidak tergamak mengadu pada kakaknya kerana dikhuatiri akan mengganggu rumahtangga mereka di samping merasa diri sedang menumpang teduh dan biaya. Lagipun kedua-dua kakak dan abang iparnya adalah ‘guru agama’.

Tindakan mendiamkan diri itu telah diambil kesempatan oleh sang ustaz. Setelah sekian lama peristiwa berlalu, tiba-tiba ustazah (kakaknya) ini pula menjaja cerita yang adik perempuannya ini pernah cuba menggoda suaminya. Rupa-rupanya sang ustaz, suami si kakak ini sudah ‘pusing’ cerita.

Waktu itu si adik cuba menjelaskan kisah yang sebenarnya. Ironinya tiada siapa di kalangan keluarga yang sudi mendengarnya. Bukan itu sahaja, malahan sekalian mereka turut mencemuh si adik sehingga sampai ke peringkat mendera mental dan fizikalnya. Si abang ipar, sang guru besar sekolah agama ini juga terus dipuja, malah terus mendera si adik ipar tanpa rasa berdosa.

Berpuluh tahun selepas itu baru kisah sebenar diberitahu. Ibubapa pun sudah meninggal dunia waktu itu. Padahal selama itu banyak sekali penderaan mental dan fizikal telah berlaku. Si adik yang tertekan bahkan pernah berdetik di hati untuk bunuh diri.

Inilah kisah pilu yang kami yakin banyak sekali berlaku. Kerana terlalu menghormati ‘golongan’ ustaz dan ustazah (malah kedua-duanya gurubesar sekolah agama), maka ibubapa malah sekalian ahli keluarga sanggup membiarkan anak yang lemah teraniaya dan terdera mental serta fizikalnya.

KESIMPULAN

Habit terlalu membangga-banggakan kejayaan anak di hadapan anak lain yang ‘kurang berjaya’ dan tidak berharta perlu dihentikan segera. Di hujung usia, kekayaan dunia tidak akan mampu merawat ‘zahir dan batin’ kita selain dari anak yang soleh dan bersifat sederhana.

Orang kaya yang bersifat prihatin masih ada, namun terlalu jarang kita jumpa jenis yang ‘mampu’ tinggalkan kerja untuk uruskan berak kencing ibubapanya. Padahal itulah yang memberi kebahagiaan ibubapa yang sudah tua. Meletakkan mereka di rumah orang tua berbayar, atau menaja perawat bergaji tidak sekali kali sama dengan penjagaan penuh kasih sayang oleh anak sendiri.

Ibubapa atau wali dalam keluarga (khususnya anak lelaki) juga mesti menjadi abal hakam yang adil dan saksama. Dengar dahulu dari kedua-dua belah pihak sebelum ‘menghukum’ mereka.

Jangan pandang remeh dengan isu gangguan seksual. Hati-hati apabila membuat keputusan meletakkan anak gadis untuk tinggal serumah bersama saudara mara dan ipar duai mereka.

Jangan sekali-kali membuat keputusan dan pengadilan yang berat sebelah hanya kerana terlalu terbias dengan kedudukan sebelah pihak yang terlibat, biarpun mereka itu seorang ustazah mahupun ustaz. Dengar dahulu aduan anak, biarpun dari pihak yang lebih muda kerana mereka mungkin sedang teraniaya.

Semuga bermanfaat,
WARGA PRIHATIN

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: