News!!

Tips Perkahwinan Mengatur Jodoh

Penjodohan Anak, Sunnah Yang Dilupakan

Dalam khutbah terakhir (khutbah wida’), Baginda Rasulullah SAW telah wasiatkan agar kita ikut sepenuhnya kitab Allah dan sunnah rasul jika kita tidak mahu sesat atau bingung selama-lamanya.

Ada orang membaca sunnah dengan pembacaan dan pengumpulan hadith-hadith sahih, sekadar baca-bacaan dan ilmu-ilmuan semata-mata. Atau mungkin bagi sebahagian lelaki, sunnah kahwin 4, pakai serban dan bela janggut itu yang dibaca dan lebih ditekankan sementara sunnah yang lain mereka kurang berminat.

Sunnah itu merangkumi gerak langkah dan perjalanan hidup para nabi dan rasul yang menepati ketetapan (kitab) Allah. Kami lebih melihat sunnah sebagai sesuatu yang strategik dalam usaha membina kehidupan yang selamat dan sejahtera. Ada sunnah yang diceritakan sebagai hadith oleh baginda dan para sahabat. Ada sunnah yang harus diteliti dari pengalaman hidup atau sirah rasul itu sendiri.

Antara sunnah besar dalam Islam ialah hal ehwal penjodohan dan munakahat. Sehubungan itu, maka artikel ini kami tulis buat menjawab beberapa soalan dari tetamu dan pembaca mengenai urusan penjodohan anak-anak RPWP. Ia juga menjawab soalan dari mereka yang hairan melihat ukhwah yang solid di kalangan 20 pengasas, isteri juga anak-anak mereka.

Isunya ialah apakah rasionalnya apabila anak-anak ini dijodohkan di kalangan sendiri? Mengapa dan bagaimana boleh perhubungan jantina anak-anak terlalu dikekang? Tidakkah ini menyekat kebebasan individu? Untuk apa digalakkan anak-anak berkahwin awal? Tidakkah ia menimbulkan fitnah masyarakat dan sanak saudara?

JODOH ITU DI TANGAN RABB (PENGATUR/MUROBBI)

jodoh 3

Hari ini jenayah zina dan buang bayi begitu berleluasa sekali. Juga begitu banyaknya kes perceraian dan kegagalan membina rumah tangga bahagia. Fungsi lelaki bagi seorang suami/ayah, fungsi isteri dan anak juga semakin bercelaru.

Oleh kerana itu, maka kami kaji dengan amat mendalam, mencari jalan untuk mengatasinya secara praktikal. Ketetapan Allah dalam alquran agar ibu bapa carikan jodoh untuk anaknya, juga sirah rasul yang terkait dengan penjodohan kami ambil sebagai pedoman.

Siapakah Siti Aisyah RA? Beliau ialah anak kepada Abu Bakar Assiddiq RA yang juga merupakan sahabat Rasulullah SAW. Selain itu, kita boleh saksikan bagaimana anak Rasulullah SAW juga dikahwini sahabat-sahabat sendiri dan anak-anak sahabat juga dipasang-pasangkan perkahwinannya secara terancang.

Ada sebab mengapa Allah menciptakan wanita ini secara alami sebagai makhluk yang mudah menurut agar mudah diaturkan jodohnya juga. Nanti dulu, baca sampai habis supaya anda tahu “Planned Marriage” bukan satu paksaan dan juga bukan satu yang ‘kolot’. Bahkan ia satu strategi yang memudah dan menyelamatkan sesebuah perkahwinan.

Hari ini, kebebasan memilih jodoh diberikan bulat-bulat kepada anak-anak sendiri. Si teruna boleh dating beratus kali sebelum merisik untuk bertanya “adakah si gadis sudah dipinang orang”. Jika jawapannya BELUM maka baru hadir satu lagi ‘rombongan risik secara rasmi’. Padahal sigadis sudah diusung ke hulu ke hilir bahkan sebahagiannya sudah biasa ‘bermalam’ bersama pun.

Di dalam Islam, meminang itu adalah satu tuntutan sunnah. Mudahnya, dalam peminangan itu akan bertemu orang tua dari kedua belah pihak dan akhirnya persetujuan diperolehi dari anak-anak yang akan berkahwin juga.

Pengatur, Murobbi, atau Wali anak itu sudah pasti tidak akan memilih orang yang dirasakan kurang sesuai untuk dijadikan menantu. Setelah berbelas malah berpuluh tahun membesarkan anak dengan sepenuh kasih sayang, takkan mudah-mudah nak diserah kepada lelaki yang tak tahu asal usulnya.

Kaedah ini juga membuatkan calun suami belajar mempersiapkan diri sebagai lelaki yang bertanggungjawab, juga belajar menghormati bakal mertua terlebih dahulu sebagai pendekatan awal untuk bertemu jodoh.

PERKAHWINAN MERAPATKAN PERSAUDARAAN

jodoh 1

Kami kongsikan ini dengan pengalaman sendiri. 20 orang pensasas RPWP semuanya berkeluarga dan mempunyai anak-anak yang diwakafkan. Kami cuba didik mereka sebaik mungkin terlebih dahulu untuk menjadi pemangkin kepada anak-anak asnaf dan yatim lain melalui konsep ‘the power of the pack’.

Bila umur mereka melangkah remaja dan masing-masing sudah mula berkeinginan, kami tanyakan terus dengan siapa mereka berminat. Nanti mereka akan katakan siapa-siapa lalu kami tanyakan kepada bapa si perempuan dan akan disampaikan pula kepada Si gadis. Itulah sebenarnya asas pertunangan, iaitu apabila pihak keluarga dan anak-anaknya juga sudah saling bersetuju. Jika ada 1 individu yang tidak setuju, maka pertunangan itu tidaklah berlaku.

Tempoh pertunangan ialah tempoh suaikenal, bukan tempoh untuk berdating sana sini. Kami didik mereka sungguh-sungguh agar menjauhkan diri dari muqaddimah zina. Apabila mereka sudah bersedia, ajukan sahaja dan akan kami nikahkan mereka, sekalipun jika umur mereka masih agak muda atau baru lepas SPM. Itu mampu mengekang dari jenayah zina dan memberikan anak-anak ini lebih fokus kepada pembangunan diri berbanding menghabiskan masa kepada cinta-cinta yang belum pasti hujungnya.

Di RPWP, 20 orang pengasasnya tiada hubungan darah pun. Ia bukan sekadar sebuah persatuan sosial yang ahlinya boleh meletakkan jawatan, tetapi sebuah KELUARGA BESAR yang memang asalnya dibina melalui semangat kekeluargaan. Apabila berlaku perkahwinan di antara anak-anak sahabat yang 20 ini, maka akhirnya kekeluargaan itu terpatri. Masing-masing akan menjadi saudara mara dan ipar duai semuanya.

Sebelum berkahwinpun, anak-anak ini sudah kenal rapat hatibudi bakal mertua seperti ayah angkat atau sahabat mereka melalui hubungan kerja membangun RPWP itu sendiri. Maka perkahwinan ini hanya menambahbaikkan hubungan sedia ada itu. Perbincangan akademik serta nasihat menasihati dengan spirit kekeluargaan sudah pun menjadi amalan biasa sejak sekian lama.

Ingat semula, perkahwinan Maria dengan Nabi Muhammad SAW juga satu perkahwinan yang merapatkan 2 kuasa. Perkahwinan Hang Li Po dengan Sultan Melaka juga satu perkahwinan yang merapatkan hubungan sesama wilayah.

Walau bagaimanapun kami tidak sarankan perkahwinan antara sepupu walaupun ia halal kerana ia tidak mengembangkan genetik (hybrid vigor) walaupun perkahwinan itu juga merapatkan hubungan kekeluargaan.

KESIMPULAN

Apabila jodoh diserahkan bulat-bulat kepada anak-anak, maka peranan murobbi, wali dan saksi akan semakin terhakis. Rukun nikah menjadi sukar dikekalkan fungsinya selepas nikah. Padahal Allah salurkan petunjuk kepada pasangan suami isteri sebahagiannya melalui peranan murobbi, wali dan saksi itu sendiri. Proses bimbingan itu bermula sejak proses perjodohan, pernikahan, hinggalah mereka berusia 40 tahun iaitu terjadinya tahap paling matang seseorang insan.

Sunnah ini tidak sekali-kali untuk menyekat anak-anak dari menikahi atau dinikahi oleh pasangan luar. Namun melihat statistik kegagalan rumah tangga dan kesukaran menasihati mereka, maka ia membuatkan kami merasa sangat bimbang lalu mengambil tindakan menongkah arus untuk menentukan jodoh mereka dengan cara ini. Alhamdulillah apabila urusan dimulakan oleh murobbi, tidak berlaku saling bertarik tali, urusan mahar dan walimatulurus juga jadi mudah.

Atas dasar itu jugalah kami merasa bertanggungjawab membimbing rumahtangga mereka secara muafakat antara mertua dan besan. Anak-anak juga akan lebih merasa yakin dan pasti untuk menjalani hidup berumahtangga dengan adanya muafakat dan khidmat nasihat itu. Itu juga memungkinkan kesemua 5 RUKUN NIKAH itu mampu untuk kekal berfungsi dan ditegakkan.

Sebahagian besar dari perkongsian ini ada kami nukilkan dalam buku munakahat khas yang dijual di majlis 16 september lalu. Mereka yang tidak berpeluang memilikkinya boleh inbox admin jika berhajat.

Kami mudahkan perkahwinan dan jauhkan mukaddimah zina. Memang benar perkahwinan sepatutnya menjadi jambatan untuk merapatkan hubungan keseluruhan keluarga. Jika perkahwinan itu tidak merapatkan jurang silaturrahim kekeluargaan, mungkin perlu periksa semula, dimanakah silapnya.

Cetusan ini hanya sekadar satu perkongsian amalan kami. Ia bukan satu ketetapan. Jika dirasakan baik, silalah amalkannya. Jika tidak, jangan keberatan untuk meneruskan cara masing-masing yang difikirkan terbaik. Semuga bermanfaat.

WARGA PRIHATIN
www.prihatin.net.my

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: