News!!

Tanya-menanya Kunci Kepada Pengetahuan Anak-anak

 

Anak-anak kita hari ini petah dan lincah mereka dalam segala perbualan dan pertanyaan. Namun, itu semua di alam internet sahaja. Apabila anak-anak ini keluar berhadapan dunia sebenar, mereka semua menjadi tikus-tikus penakut yang menikus bilamana mereka perlu bertanya kepada orang lain.

Pengalaman salah seorang dari kami sebagai salah seorang pengajar professional di peringkat antarabangsa menyatakan pengalaman bahawa situasi pelajar tidak mahu bertanya itu sudah berlaku hampir di semua tempat. Ramai yang takut bertanya kerana takut dicop oleh rakan-rakan lain sebagai mengada-ngada ataupun memberi tanggapan kepada orang lain yang mereka ini bodoh. Di Malaysia, Jepun, Finland, Sweden malah USA sendiripun kebanyakannya apabila selesai kuliah dan ditanya “ada soalan?”

Ramai menikus.

Itu satu realiti yang berlaku hampir di seluruh dunia.

Malangnya, ia terjadi di kalangan bangsa Melayu, umat Islam sendiri di Negara Malaysia yang segan bertanya. Sudahlah negara dalam proses pembangunan menjadi negara maju, tetapi tanya menanya pula yang menjadi laluan ilmu pula tidak berjalan.

Rasulullah SAW katakan bahawa syurga itu ialah taman ilmu. Kuci ilmu ialah pula ialah “bertanya”.

Dalam quran pula Allah nyatakan bahawa “di dalam syurga ada sungai-sungai yang mengalir di bawahnya, mereka saling tanya menanya”.

Tanya menanya itulah sebenarnya suasana syurga, sarana perhubungan yang mewujudkan suasana harmoni, sarana aliran sungai maklumat dan ilmu. Tanda anak-anak bakal menjadi anak yang bijak iallah apabila mereka banyak bertanya. Banyak bertanya itu satu tanda mereka banyak berfikir dan itulah satu wasilah untuk mereka dipandaikan.

Malang sekali ramai ibu bapa yang malas melayani pertanyaan anak-anak. Ini banyak berlaku khasnya pada anak ke dua, ketiga dan seterusnya. Ia banyak terjadi pada ibu bapa yang banyak mengalami krisis rumah tangga dan mengalami keserabutan urusan dunia mereka.

Dalam Program Sekolah Alam yang kami kongsikan dalam artikel yang lepas, anak-anak kami bawa berjalan. Apakah pelajaran yang mereka dapat jika mereka tidur sejurus menaiki bas dan bangun setelah mereka sampai. Kemudian turun dari bas, letak beg dan terus mandi sungai. Cukup hari terus balik. Adakah pelajaran mampu dikutip dengan cara begitu?

Tidak. Jika adapun ia terlampau sedikit dan tidak menjentik minda anak-anak untuk berfikir. Jika mereka berfikir pasti mereka akan bertanya. Itulah yang terjadi kepada anak-anak kami sepanjang perjalanan ke Baling minggu lepas. Mereka tidak putus-putus dengan pertanyaan dan kami sebagai murobbi mereka di dalam bas sehingga tercabar mencari kawasan yang mempunyai isyarat internet untuk kami google sebahagian jawapan yang agak tinggi dan berat untuk dijawab.

Ada 1 orang anak kami yang baru menyertai RPWP, seorang anak yatim yang sebelum ini mempunyai masalah besar dalam berkomunikasi. Anak darjah 6 ini diserahkan ketika darjah 5. Beliau tidak kenal huruf dan nombor, jauh sekali pandai membca dan mengira. Inilah yang kami katakan ramai sekali anak yang yatim sebelum yatimnya kerana bapa beliau baru sahaja menginggal dunia setahun lebih yang lalu.

Pada hari itu, anak yang kurang bercakap dan bertanya ini tiba-tiba turut hilang jurang pemisah dan turut bertanya seperti ikan lapar menyambar dedak-dedak yang ditabur. Ini satu petanda positif apabila masalah yang tidak dapat kami selesaikan dalam bilik darjah rupanya boleh diselesaikan dengan mudah dengan perjalanan itu.

Nabi juga pernah bersabda yang maksudnya untuk kita berjalan bersama seseorang selama 3 hari untuk mengenali mereka dengan sebenarnya. Segala pekung kefasikan dan kepura-puraan biasanya hanya bertahan sehari dua sahaja dan tidak akan sampai lama. Di situ kita mengenali mereka. Begitu juga, sebahagian anak-anak kami yang kami rasakan telah kami kenali rupanya ada banyak sisi lain untuk kami kenali mereka melalui perjalanan. Perjalanan itu mewujudkan pertanyaan dan pertanyaan itu kunci kepada ilmu.

Di dalam rumahtangga juga, antara yang kami perhatikan dalam banyak kes perceraian yang dirujuk, mereka berpisah atas sebab “Tidak Sefahaman”. Jika diperhalusi lagi, mereka sebenarnya sudah hilang asbab untuk bertanya. Jika setahun dua berkahwin masih lagi boleh tanya soalan-soalan cliche “You sayang I tak?” tapi kalau dah bertahun-tahun, soalan cliche sudah tak laku lagi. Isteri dah kurang bertanya kepada suami.

Lebih mengharukan apabila keadaan itu dilihat oleh anak-anak lantas anak-anak menirunya juga. Maka, terhasillah keluarga pendiam yang tiada tanya menanya. Anak-anak menghabiskan masa kepada computer game, tablet, facebook, whatsap, wechat dan macam-macam lagi. Sementara ibunya pula pulang bekerja terus duduk di depan TV menunggu drama-drama slot Akasia “Playboy itu Suami Aku” yang mereka sanggup tonton sehingga puluhan episod.

Ini realiti dan ia sedang berlaku di kebanyakan rumah-rumah. Jika syurga itu digambarkan memiliki sungai-sungai yang mengalir, maka air yang mengalir itulah analogi aliran ilmu yang tidak putus-putus. Mengapa tidak putus? Kerana sentiasa ada pertanyaan.

Dengan pertanyaan itu, yang ditanya juga belajar. Mana tidaknya, apabila murobbi yang memberi penjelasan di dalam bas rombongan anak-anak terpaksa minta tangguh jawapan untuk mereka google di internet, ia juga menjadi pengetahuan baru kepada murobbi itu sendiri dan anak-anak yang bertanya. Barulah, ilmu itu sentiasa berkembang serta mengalir seperti mata air dan sungai-sungai di dalam syurga.

Sungai-sungai itu yang membawa aliran ilmu yang tidak putus-putus menjadi sumber air untuk dusun-dusun buah. Ya, di dalam syurga juga ada pohon-pohon buah yang pelbagai. Pohon ini menyerap air dari aliran sungai yang tidak putus-putus itu lalu dijadikan bahan untuk menjalankan proses fotosentisis yang kemudian menghasilkan makanan untuk pembesaran pokok dan mengeluarkan BUAH-BUAH FIKIRAN.

Anak-anak yang rajin bertanya ini akan banyak mengeluarkan buah-buah fikiran yang lazat dan enak sehingga kami murobbi juga boleh makan buah-buah fikiran yang dihasilkan oleh anak-anak ini sendiri.

Adakah syurga seperti ini sedang berlaku di dalam rumahtangga kita? Jika belum, mulakan sekarang. Jika sudah, fikirkan halatujunya. Jika belum, tidak salah kita memulakan pertanyaan sebagai mendidik anak cara yang terbaik untuk bertanya. Kenali tahap pemikiran anak kita dahulu dan mulakan dari situ untuk memulakan alirannya.

Kenali juga bahan pertanyaan dan gaya menanya kerana tanya menanya terhadap kefasikan juga dinamakan “TANYA”, tetapi ia menjurus kepada sesuatu yang membosankan dan mematikan akal. Contohnya apabila anak bertanya sesuatu yang dia sudah tahu secara berulang-ulang. Bertanya kerana malas berfikir dan sebagainya. Pertanyaan seperti ini tidak ada ilmu yang bakal terbit. Kerana itu, ia akan menjadi aliran sungai yang kotor alirannya?

Tips Parenting
WARGA PRIHATIN

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: