News!!

Sifat mazmumah antara fitnah angpau raya

Ini tahun ketiga RPWP membuat kajian menyeluruh tentang isu duit raya. Budaya masyarakat Cina yang tidak berlaku pada generasi yang lahir di tahun 60an dan sebelumnya ini sudah jadi sebati dalam masyarakat hari ini. Mungkin dahulu masing-masing kurang berkemampuan.

Antara baiknya budaya ini ialah ia dapat mendidik hati masyarakat yang berkemampuan agar suka bersedekah, khususnya kepada anak-anak yatim dan asnaf.

Anak-anak yang menerimanya, khususnya yang hidup susah juga boleh dididik untuk bersyukur dan belajar menabung. Dari budaya ini mereka dapat merasakan ada insan yang prihatin terhadap nasib mereka. Dapatlah mereka ‘menceriakan’ diri di hari raya.

TETAPI BURUKNYA PUN BANYAK JUGA…

Dalam dunia yang terlalu materialistik sekarang ini, sudah terlalu berleluasa isu anak-anak yang bersikap biadap semasa beraya hanya kerana ‘laparkan’ duit raya. Isu anak-anak mengetuk pintu dan berkata “kami nak beraya”, tetapi hanya tercegat di depan pintu menunggu dihulurkan duit raya bukan lagi perkara baru.

Ramai juga yang tergamak ‘mengutuk’ tuan rumah apabila duit raya terlalu sedikit atau tidak diberi sama sekali. Juadah dihidang, bahkan air minum pun langsung tidak diperduli. Penampilan budi pekerti dan ramah tamah jauh sekali.

Dengan membudayakan duit raya ini, anak-anak seolah-olah faham bahawa ‘beraya’ bagi mereka hanyalah untuk mendapatkan ‘duit raya’. Padahal dahulu kita diajar berziarah untuk menyantuni dan bermaaf-maafan dengan tuan rumah. Tidak ada langsung cerita duit raya.

Dengan duit raya yang semakin banyak juga menjadikan anak-anak panjang langkahnya. Ada yang tukar handphone baru, ada yang melepak di cybercafe melayani game dan berjudi, ada yang membeli rokok dan arak mahal, menonton wayang, membeli mercun dan sebagainya.

Rasanya tidak perlu lagi dihuraikan kesan buruk dari kegagalan ibubapa memantau anak-anak yang menjadi ‘kaya segera’ kerana mendapat banyak duit raya. Gejala sosial seperti arak, judi, zina, dadah yang pernah ‘tertangguh’ kerana ketiadaan wang akan menjadi ‘sangat lancar’ di hari raya.

SIFAT MAZMUMAH PADA BUDAYA DUIT RAYA

Dalam banyak hal, budaya ini juga mampu menyuburkan sifat mazmumah di kalangan pemberinya. Demi untuk menunjuk-nunjuk, ada yang sampai sanggup melakukan ‘dosa’, samada melalui kaedah pemberian duit raya atau cara ‘mendapatkan’ duit raya itu sendiri.

Ujikaji RPWP mendapati, jika kita sengaja tidak memberi duit raya kepada anak-anak saudara kita, maka anak-anak kita juga berkemungkinan tidak diberi duit raya dari ibubapa mereka. Jika tidak terjadi sertamerta, ia akan terjadi juga pada tahun-tahun berikutnya.

Ujikaji ini sudah kami buat banyak kali, khususnya oleh para sukarelawan kami sudah lagi tidak bergaji. Ada juga yang sekadar ‘mengaburi mata’ dengan memberikan ‘duit raya khas’ kepada anak-anak si fakir yang tidak lagi memberikan duit raya kepada anak-anak mereka.

Hanya untuk BERMEGAH bagi menunjukkan kebaikan dan kehebatan status sosial melalui duit raya, bahkan untuk belanja mengadakan jamuan rumah terbuka, ramai juga yang sanggup melakukan jenayah. Yang berniaga sanggup menipu dan yang berpangkat sanggup ambil rasuah. Soal halal haram dan dosa pahala semuanya tolak tepi asalkan mereka ‘nampak hebat’ di mata manusia.

Oleh itu jelas sekali bahawa melalui budaya pemberian duit raya dan rumah terbuka yang tidak ikhlas juga banyak fitnahnya. Ia lebih menjurus kepada sifat mazmumah di kalangan kita.

Imam Al-Ghazali telah menggariskan sepuluh sifat Mazmumah (tercela) di dalam kitabnya;

1) Banyak Makan
2) Banyak Bercakap
3) Marah
4) Hasad
5) Bakhil
6) Cintakan Kemegahan
7) Cintakan Dunia
8) Bangga Diri
9) Ujub (Hairan Diri).
10) Riya’ (Menunjuk-nunjuk).

KESIMPULAN

Sepanjang kami bawa anak-anak beraya, kami tidak langsung menekankan kepada duit raya. Apatah lagi rumah-rumah yang kami ziarahi kebanyakannya adalah rumah warga tua, asnaf dan miskin. Anak-anak lebih fokus kepada tatasusila beraya dan bermaaf-maafan. Mereka lebih berbahagia mengagihkan beras dan hadiah raya melalui Projek Pelangi ke semua rumah-rumah yang diziarahi.

Apapun kita ucapkan TAHNIAH kepada yang benar-benar bersifat MAHMUDAH (terpuji) dan mampu ikhlas dalam pemberian duit raya.

Kepada mereka yang samada sedar atau tidak telah memupuk sifat MAZMUMAH (tercela) dalam diri melalui budaya duit raya ini, kita doakan agar Allah SWT gantikan ia dengan sifat Mahmudah. Amein…

Artikel Ihsan dari facebook page
Warga Prihatin

 

Comments

comments

1 Comment on Sifat mazmumah antara fitnah angpau raya

  1. Setuju sangat. Tapi tidak mudah untuk mengubah tabiat manusia ni…

Leave a Reply

%d bloggers like this: