News!!

Konflik Istilah Fakir Dan Miskin

Fakir dan Miskin, Istilah Yang Disalaherti

Antara sebab institusi baitulmal zaman ini gagal digembeling untuk membangun Islam dengan berkesan adalah kerana kegagalan memahami istilah atau terminologi yang berkaitan dengan pungutan dan pengagihan hasil sedekah itu sendiri.

Konflik istilah ini juga boleh mengelirukan perlaksanaan bilamana golongan A bertukar jadi B, yang sunat jadi wajib, yang wajib jadi sunat dan sebagainya. Kami pernah nukilkan dapatan kami mengenai isu ini dan boleh anda baca di link berikut sebagai rujukan.

http://prihatin.net.my/…/sains-sedekah-2-kaitan-sedekah-de…/
http://prihatin.net.my/…/sains-sedekah-konflik-istilah-yan…/

Kami turut menerima persoalan dari pembaca yang bertanya siapa itu asnaf FAKIR dan siapa pula MISKIN dari sudut kefahaman dan perlaksanaan yang sebenar. Difahamkan sampai ada yang sanggup mencari gali, membuka semula buku-buku agama, laman e-fatwa dan merujuk laman web yang berkaitan dengan agama.

Kami akui pernah mengalami kesulitan yang sama untuk mendalami maksud sebenar bagi persoalan ini. Lebih membingungkan lagi apabila kami cuba meletakkan sesuatu perlaksanaan itu tepat pada tempatnya berdasarkan pedoman yang Allah berikan itu. Habis semua buku-buku agama lama kami singkap, juga bertanya pada para ulamak dan bijak pandai. Jawapannya masih juga kabur.

Dalam usaha melaksanakan usaha kebajikan dengan meletakkan alquran dan sunnah sebagai pedoman ini, kami tidak akan berpuashati selagi kebenaran tidak ditemui dengan tepat setepat-tepatnya. Kami yakin akan firman Allah bahawa jika kefahaman itu tidak seperti yang didatangkan dari Allah, pasti perlaksanaannya akan khilaf dan buntu.

Lalu konflik itu membuatkan kami merujuk kembali maksud fakir dan miskin ini terus kepada Allah melalui ayat al-quran. Ini menepati saranan Allah agar kembali merujuk kepada Allah melalui kitabNya, dan Rasul melalui sunnahnya (QS: 4:59). Subhanallah, ia ternyata jelas dan mudah difahami lalu kami dapati ia berjaya melatakkan fungsi amal itu betul-betul di tempatnya.

BANYAK TERJEMAHAN QURAN YANG MENGELIRUKAN

10604534_10153259815657786_158967382834990235_o

Hasil kajian kami menggunakan hampir 10 naskah alquran mendapati bahawa terjemahan dan kefahaman daripada orang-orang terdahulu perlu diperhalusi semula dengan lebih tepat. Gambar hiasan yang sempat kami petik menunjukkan begitu jelas sekali alquran itu diterjemahkan dengan sewenang wenang. Perkataan diubah dari tempatnya dengan sesuka hati. Jika kita taksub dengan hanya satu terjemahan sahaja, maka amat mudah untuk kita terpesong.

Jika 500 tahun dahulu di dalam al-quran diterjemahkan perkataan SEDEQAH itu sebagai ZAKAT, sampai sekaranglah masyarakat kita pegang dengan maksud itu dan makna itu dikekalkan tanpa sebarang usaha membetulkan kefahaman kita. Sehingga fatwa dan hukum pun terus berpegang pada maksud yang tersilap itu tanpa ada usaha langsung untuk mengkaji semula definisi yang lebih tepat dengan kefahaman yang lebih luas dan jelas.

Begitu juga dengan IBNU SABIL yang diterjemahkan sebagai orang yang dalam perjalanan (musafir). Kalau begitu, maka semua yang sedang berehat di R&R Tapah layak terima zakat sebab dalam musafir kerana menghantar anak pergi ke konvo atau menghadiri kenduri kahwin. Pastinya ada satu konteks dan definisi yang tetap dan pasti siapakah ibnu sabil yang melaksanakan perintah fi sabilillah itu.

Kita mungkin tidak begitu terasa apabila membaca alquran sekadar ilmu-ilmuan, atau sekadar ingin tahu sahaja. Tetapi apabila kita benar-benar ingin melaksanakan setiap ayat-ayat perintah ini, kita akan dapat mengesan ada kesilapan yang nyata dari pentakrifan lama.

Alhamdulillah kini kami dapat merasai bagaimana sunnah perjalanan Rasulullah SAW dalam menetapkan sesuatu HUKUM dan pelaksanaan perintah. Barulah kami mampu hujjahkan dengan HIKMAH, segala HUKUM Allah dan perlaksanaan dari sunnah Rasullullah SAW itu.

FAKIR DARI KONTEKS AL-QURAN

FAKIR dan MISKIN, dua golongan yang berbeza menurut istilah alquran ini sering disekalikan menjadi ‘fakir miskin’ sebagai satu golongan yang sama. Sedangkan FAKIR itu benar-benar membawa maksud yang sangat berbeza dan sangat jauh pelaksanaannya dengan orang MISKIN.

Ada pelbagai definisi fakir yang mengelirukan hari ini kerana ia menampakkan entiti yang sama dengan miskin. Antaranya FAKIR dimaksudkan orang yang hidup susah dan melarat. Ada yang kata FAKIR lebih susah dari MISKIN, dan sebaliknya. Situasi yang digambarkan ialah mereka hidup di bawah jambatan, gelandangan tidak berumah, merempat dan bergantung kepada dana awam untuk hidup. Mereka ini juga dikatakan meminta-minta dan jauh daripada pegangan aqidah yang kukuh.

Kefahaman istilah FAKIR hari ini sangat jauh lari maksudnya dengan roh al-quran. FAKIR dalam kata istilah bermaksud MEMERLUKAN. Mereka memerlukan Allah sehingga sanggup berserah diri dan masyarakat memerlukan mereka sebagai pembela dan pelopor pembangunan ummah. Inilah usaha pada jalan Allah atau fi-sabilillah.

Kerana itu, Golongan FAKIR yang dimaksudkan di dalam al-quran ialah mereka yang terikat di jalan Allah (fi-Sabilillah). Mereka asalnya mungkin kaya atau terpelajar, namun menyerahkan diri dan hartanya untuk pembangunan ummat Islam. Masyarakat yang tidak tahu akan menyangka mereka orang kaya kerana mereka memelihara diri dari minta-minta dengan paksa atau mendesak. Sila rujuk QS: Albaqarah ayat 273 di gambar hiasan.

Sewaktu menerima wahyu, Rasulullah SAW adalah suami kepada Siti Khadijah r.a. yang kaya raya sehingga dikatakan dua pertiga dari ekonomi Mekah ketika itu adalah di bawah kuasa beliau. Keluarga nabi SAW juga bukan dari golongan susah kerana mewarisi kuasa dari Ninda baginda. Abu Lahab yang dikatakan kaya itu juga bapa saudara baginda.

Sebelum menerima wahyu, baginda bekerja dengan Abu Jahal, penguasa Mekah ketika itu sebagai pemegang kunci kaabah, komanden perang, presiden NGO dan sebagainya. Baginda juga bertaraf Jaksa Pendamai sehingga mendapat gelaran al-Amiin. Demikian juga para sahabat baginda yang asalnya adalah golongan bangsawan yang kaya dan berkemampuan.

Apabila mendapat wahyu dan perintah berserah diri (Islam) mereka menjadi golongan awal yang berserah diri (Awwalul Muslimin). Apa yang mereka serahkan ialah harta dan diri mereka sendiri. Mereka menjadi FAKIR bukan kerana jahil atau malas sehingga hilang kemampuan, tetapi mereka terikat kerana segala upaya minda dan fizikal mereka amat diperlukan untuk pembangunan Islam itu sendiri.

Semua aset dikumpulkan menjadi satu dan dipusatkan menjadi baitulmal sehingga mereka sendiri terpaksa terus menerus berpuasa dan berjimat cermat, hidup bercatu menggunakan harta baitulmal yang terkumpul itu. Bakinya digunakan untuk modal kerja dan urusan dakwah, pembangunan Islam dan merangka strategi bagi membela umat Islam yang tertindas seperti tekanan akibat hutang dengan riba’ atau memerdekakan orang yang tertawan seperti Bilal bin Rabah dan sebagainya.

Fakir adalah golongan yang ada maruah dan jatidiri, bukan semestinya orang miskin sehingga kadangkala tergamak untuk meminta-minta dengan mendesak. Sebaliknya merekalah yang awal-awal berserah diri dan harta peribadi untuk memperjuangkan urusan pembangunan agama bila hati mereka sudah terikat dengan Allah. Segala apa yang dibelanjakan hanya untuk urusan membangunkan agama, mendaulah Islam sebagai satu sistem kehidupan yang mampu menyelesaikan masalah umat.

DEFINISI MISKIN DARI KONTEKS AL-QURAN

MISKIN dari penelitian alquran pula adalah golongan yang meminta-minta sampai peringkat mendesak untuk kelangsungan hidup. Apabila merujuk kepada MISKIN, sering Allah kaitkannya dalam alquran dengan pemberian makan minum dan sara hidup. Sila rujuk ayat-ayat yang sempat kami kumpulkan bagi memahami istilah MISKIN ini dengan lebih tepat.

http://prihatin.net.my/…/antara-dalil-mengenai-fakir-dan-m…/

Bantuan kepada golongan MISKIN lebih kepada sifat peribadi yang terkait dengan tekanan dari keperluan hidup. Secara sosiologi, golongan ini wajib dibantu bagi mengelakkan suasana huruhara akibat dari tekanan hidup. Orang lapar akan mudah marah. Orang yang tertindas dan terpaksa sanggup melakukan apa sahaja, termasuk penipuan dan segala macam jenayah untuk hidup.

KESIMPULAN

Kunci kepada FAKIR ialah MEMERLUKAN. Mereka ini mengorbankan diri di jalan Allah kerana merasakan perlunya perintis ke jalan itu yang amat juga diperlukan oleh umat Islam. Mereka korbankan harta dan diri untuk kepentingan ummah, bukan lagi untuk kepentingan peribadi. Namun mereka tidak sekali-kali akan mengorbankan maruah diri untuk meminta-minta dengan mendesak.

Di RPWP contohnya, apa yang dikorbankan oleh golongan kaya yang menFAKIRkan diri ini juga untuk kepentingan ummah. Jika apa yang golongan FAKIR ini usahakan dapat kita lihat kebenaran dan keberkesanannya, sehingga kegelapan dan kebuntuan ini ada harapan untuk dileraikan, maka itulah unsur SIDDIQ yang perlu kita sokong dan benarkan ia dengan SEDEQAH.

Tanpa kita sedar, hasil usaha dan pengorbanan golongan FAKIR ini jugalah yang akan dapat membantu memberi makan dan minum golongan MISKIN. Di RPWP sendiri, ramai anak-anak biasa mahupun yatim dari golongan MISKIN yang dahulunya banyak melakukan jenayah dan berjaya diselamatkan.

Mudahnya golongan FAKIR adalah yang banyak berkorban untuk AMAR MAKRUF, NAHI MUNGKAR – membangun agama dan mencegah kemungkaran. Inilah dia jalan Allah, Fi-Sabilillah di mana golongan FAKIR mengikat diri dengannya sepenuh masa walaupun tanpa gaji dan upah, sehingga tiada peluang bagi mereka bekerja untuk diri sendiri di dunia ini.

Kami kongsikan modul ini untuk mana-mana jemaah lain yang sering bertanya. Kami sudah laksanakannya dengan jaya, jelas sirot dan sabilnya. Anda hanya perlu berlapang dada dan turut mencari kebenarannya, tidak perlu memaksa diri untuk menerima mahupun mengamalkannya jika belum cukup jelas kefahamannya. Semuga bermanafaat.

WARGA PRIHATIN
www.prihatin.net.my

Comments

comments

1 Comment on Konflik Istilah Fakir Dan Miskin

  1. Pencerahan terbaik.

Leave a Reply

%d bloggers like this: