News!!

Subsidi bukan bantuan tapi buffer ekonomi

Orang kaya akan kata naik 20 sen jer. Orang miskin akan kata “kita kena hidupkan balik motorsikal”. Dulu pergi kerja boleh lagi berkereta suami isteri, sekarang suami isteri dah kena tunggang motorsikal semula. Kos sarahidup semakin tinggi, dah tukar gayahidup masih juga tak cukup-cukup keperluan. Anak dah tukar dari Dugro minum Lactogen bila tukar cara hidup sekarang dari Lactogen anak hirup air sirap sahaja dalam botol susu. Namun tidak mencukupkan lagi menampung kos kehidupan yang semakin tinggi.

Saya tidak bercadang nak buat surat kepada PM seperti beberapa tahun lepas lagi. Kerana saya yakin PM tahu dan mendengar keluhan rakyat. Cuma kita harap bukan sekadar dengar tetapi bertindak. Sekurang-kurangnya bertindak untuk mengurangkan kenyataan-kenyataan dari badut-badut politik yang sekadar menyimbah asid sulfurik pekat ke luka yang sedia ada.

Kita bukan lagi di zaman wayang pacak Kementerian Penerangan yang datang ke kampung-kampung pedalaman semasa nak pilihanraya lalu tayang cerita AR Badul diselang dengan ceramah politik. Kita dah dalam generasi semua orang pegang media sendiri. Kita bukan zaman TV hitam putih yang kena pakai antena ikat tudung periuk nak dapatkan RTM 1 dan RTM 2 sahaja lantas terpaksa percaya apa sahaja yang dikeluarkan dari saluran yang ada itu.

Kita sudah zaman informasi dihujung jari. Kelip mata sahaja keluar notification. Semoga tiada kenyataan sarkis seperti “Ubah gaya hidup” atau “Jika tidak mahu harga minyak naik, pindah ke Venezeula” atau kenyataan-kenyataan cerdik begini. Ia mengguris hati rakyat yang sememangnya berada di borderline. Dari naik kereta dah mula tukar motorsikal semula. Itupun ada juga kenyataan cerdik untuk mengharamkan kapcai masuk ke kotaraya.

Terbaru, aktiviti cerdik memberi isian percuma kepada 300 buah motorsikal di Kampung Medan oleh Datuk Abdul Mutalib Abd Rahim. Saya tiada masalah bila nak beri percuma tetapi yang tidak tahan ialah kenyataan seolah-olah pemberian percuma untuk 300 buah motorsikal itu satu ubat gula-gula yang boleh selesaikan seluruh masalah. Kita perlukan lebih ramai ahli politik yang cerdik hakiki untuk diangkat menjadi pemimpin yang cakna dan bukan sekadar pemimpin coverline.

Saya setuju bila kerajaan tidak boleh nak buat apa dengan kenaikan harga minyak memandangkan ia telah diapungkan mengikut harga pasaran minyak dunia. Malaysia mengeluarkan minyak sweet oil yang harganya lebih mahal dan dijual ke pasaran dunia, lalu Malaysia membeli crude oil biasa yang lebih rendah kualitinya pada harga pasaran dunia. Lebihan dagangan itu menjadi antara pendapatan terbesar negara. Namun bila harga minyak mentah jatuh merudum, harga minyak yang kita jual juga merudum. Hasilannya sedikit dan perlu beli minyak mentah lain dan lebihannya tidak banyak.

Atas sebab itu, saya optimis dan tidaklah sampai nak buat tunjuk perasaan kerana minyak naik. Tapi lebih kepada nak bersangka baik kepada kerajaan.

Namun jika boleh saya sampaikan satu pandangan yang rasanya semua orang pun fikir perkara yang sama, maka hendaklah saya mencadangkan rasionalisasi subsidi minyak ini dikaji semula. Subsidi bukan sekadar untuk beri orang miskin dan rakyat Malaysia harga minyak yang murah dan mengurangkan kos sarahidup mereka tetapi rasionalisasi ini perlu dilihat juga dari sudut yang lebih besar. Tampanan harga minyak yang naik mendadak boleh dilembutkan dengan subsidi kerana jika kita masih ingat, setiap kali kenaikan harga minyak sahaja maka kos barangan keperluan juga semuanya naik.

Kita jelas kementerian bertanggungjawab juga buat kerja mereka cuma sekadar marah anak manja panjat gerobok “Aippppp….no no no…nanti jatuhh” tanpa tindakan serius yang memberi impak yang nampak. Sekiranya kenaikan yang wajar ialah 20 sen, sekurang-kurang subsidi boleh kurangkan menjadi 10 sen atau hanya 5 sen. Kita masih ingat, setiap kenaikan harga barang yang berlaku pada setiap kali kenaikan harga minyak, ia tidak turun pula semasa harga minyak turun. Tetapi bila nanti harga minyak itu naik semula, harga barang tetap naik juga.

Gunakan subsidi untuk melembutkan impak. Jika impak kenaikan ini seperti hempukan batu seberat 100kg pada kelajuan 50ksj ke atas perut kita, dengan subsidi ini kita lembutkanlah jatuhan batu 100kg itu dari 50ksj kepada hanya 10ksj. Beratnya  tetap sama tetapi tidak sampai mematahkan tulang rusuk dan memecahkan organ-organ yang ada dalam perut kita. Ini analogi sahaja bagi yang nak mudah faham.

Ini kerana, tidak adil jika (contoh) harga tehtarik dari RM1 semasa minyak RM1.70 tetapi semasa harga minyak naik jadi RM1.90 tehtarik jadi RM1.10 bila turun jadi RM1.80 harga tehtarik maintain RM1.10 tapi bila naik semula jadi RM1.90 tiba-tiba harga tehtarik naik lagi jadi RM1.20. Saya bagi contoh sahaja tehtarik, cuba tukarkan tehtarik itu kepada variable lain seperti minyak masak, tepung, ayam dll keperluan.

Saya sendiri seperti saya nytakan, tidaklah nak memberontak kerana memang ada keperluan kenaikan harga minyak disebabkan kenaikan harga pada sumbernya. Namun subsidi ini dari terus dimansuhkan, jadikanlah dia sebagai penampan impak. Ditambah lagi dengan statement atau aktiviti-aktiviti yang kononnya cerdik tetapi memualkan pada pandangan rakyat seperti petrol percuma untuk 300 motorsikal dan mengaitkan itu dengan kebijaksanaan Perdana Menteri. Saya yakin, PM jauh lebih bijak dari itu.

Saya juga yakin jika bertukar kepimpinan kepada pihak lain, kenaikan harga minyak tetap tidak boleh dielakkan tetapi sekurang-kurangnya kita mampu lembutkan impak dari terhempap batu sampai terkeluar isi perut dengan terhimpit sahaja.

Seperkara lagi, saya seru kepada semua ahli politik untuk fokus kepada penyelesaian masalah rakyat dan bukan fokus kepada meraih populariti di kalangan masyarakat dan pucuk pimpinan sambil mengharapkan pucuk pimpinan nampak usaha mereka dan akan dicalonkan di PRU akan datang. Jika tidak dapat merawat, sekurang-kurang janganlah ditambah sakit hati rakyat yang sedang terhempap bebanan baru ini. Perkataan seperti “20 sen jerrr” itu sangat mengguris hati rakyat marhaen.

Saya sendiri tergolong dalam golongan yang boleh kata sedemikian “20 sen jerrr” tetapi untuk apa kita angkuh dengan apa yang kita ada jika sekeliling kita orangnya merana. Selesakah hidup kita bila anak kita minum susu mahal dan anak jiran sudah tukar susu jadi air sirap? Kita perlukan lebih ramai pemimpin yang sensible dan cakna dan bukan melakukan sesuatu atas dasar nak bagi big boss nampak dan tujuan sampai tercalon jadi calon pilihanraya.

Kesimpulannya, kenaikan mungkin tidak boleh dielak tetapi tak perlu buat sesuatu sampai menyakitkan hati orang lain dan kedua, rasionalisasi subsidi tidak sepatut fokus pada BANTUAN kepada golongan susah tetapi lebih kepada menampan impak kenaikan harga minyak mendadak sehingga barangan lain semua naik serta kos sarahidup semuanya naik juga.

Semoga Allah kurniakan kebijaksanaan kepada pemimpin-pemimpin kita. Amin

 

SAIFUL NANG
Hanya Orang Biasa

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: