News!!

Rumah Kebajikan sepatutnya tidak meminta-minta derma

(KEYBOARD WARRIOR PASTI TAK SUKA BACA)

Salam semua, selamat menyambut bulan Ramadhan penuh berkah. Ramai pandai sebut tapi tak tahu BERKAH tu apa. Inilah bulan yang MENCUKUPI (berkah).

Bagaimana biasanya tak cukup tetapi bulan puasa boleh cukup pula? Itu hanya orang yang berpuasa syariat dan hakikat akan faham.

Mudahnya begini, di bulan biasa nafsu makan kita layankan pagi, tengahari, petang, malam. Tapi bulan puasa, kita OFF nafsu untuk makan tengahari. Patutnya bajet berkurang kerana dah off lunch. Malam hari kita sering berkeliaran ‘keluar malam’ membazir masa dan dana, di bulan puasa kita ‘cuti’.

Malangnya yang biasa jadi tak macam tu kerana ramai juga yang jamakkan semua, ditambah extra lagi tu pada waktu Maghrib. Lepas Maghrib dah jadi macam ular sawa, nak solat Maghrib-pun dah susah nak ruku’ apa lagi nak terawih. Malamnya tetap berkeliaran juga di hotel atau di mana-mana sampai waktu sahur.

Topik saya nak kupas hari ini ialah bagaimana sebuah badan kebajikan tidak perlu meminta-minta sedekah. Berbalik juga kepada cara yang sama iaitu…BERPUASA

Pertama sekali jangan salah faham dengan tajuk. BUKAN KITA CAKAP TAK PERLU, cuma tidaklah perlu sampai TERPAKSA meminta-minta sedekah dan hidup HANYA BERGANTUNG dengan sedekah.

Rumah Kebajikan tidak perlu meminta-minta derma jika…

1. Jika semua orang mampu memberi sekalipun tidak diminta. Maka rumah kebajikan tak perlulah nak deploy budak-budaknya minta derma atau buat cerita kesian dalam FB, atau membakar bangunan yang tak berapa boleh nak diguna, kemudian merintih kerana dah terbakar (lepas tu banyak derma masuk). Memang Allah tidak mahu rumah kebajikan meminta-minta sangat, tetapi dalam Quran Allah seru orang memberi walaupun tidak diminta.

2. Jika rumah kebajikan itu mampu untuk ditadbir oleh orang-orang FAKIR.

Siapa orang fakir? Mudah sahaja. Kenapa Rasulullah SAW dan isterinya Khadijah r.ah., Abu Bakar Assiddiq, Usman Ibn Affan, Umar al-Khattab itu semua dipanggil golongan Fuqara’ (Fakir) dan bukan dipanggil MISKIN? Kenapa pula Bilal Bin Rabah (hamba abdi) dipanggil MISKIN? Ikutkan takrifan yang ada hari ini, dikatakan FAKIR lebih miskin dari Si Miskin. Bagaimana jutawan Mekah seperti di atas semua jadi lagi miskin dari Bilal? Tetapi siapa mereka ini?

MEREKA JADI FAKIR LEPAS MEREKA LUCUTKAN KEPUNYAAN PERIBADI MEREKA UNTUK DIBANGUNKAN SEBUAH BAITULMAL YANG DIKONGSI OLEH SEMUA. Secara automatik, mereka jatuh FAKIR dan layak menguruskan baitulmal dengan hikmah dan tidak boros. Mudahnya begini, harta dalam baitulmal itu harta mereka juga asalnya, tetapi dilucutkan sahaja haknya dan mereka sendiri mentadbir bersama-sama Rasulullah SAW.

 

3. Ok, susah nak fahamkan? Begini, 13 tahun lalu Rumah Pengasih Warga Prihatin dibangunkan oleh 20 orang pengasas. Kebetulan saya salah seorang darinya. 20 orang ini menyerahkan KESELURUHAN hartanya. Ada yang serah terus dari hari pertama. Ada yang serah sedikit-sedikit dahulu sampai akhirnya habis diserah semua. Ada juga orang macam saya, antara yang paling lambat nak serah semuanya (maklumlah masih cinta harta). Saya mula serah sikit dulu, kemudian sampai satu peringkat, duit bukan lagi matlamat hidup, maka saya juga ikut sahabat-sahabat lain serah semuanya termasuk tidak ambil gaji, upah, komisyen dan semua syarikat-syarikat saya diwakafkan.

 

4. Next orang mesti tanya, MACAM MANA NAK MAKAN KALAU DAH BAGI SEMUANYA??.

Jangan risau, Khadijah, Abu Bakar, Usman, Umar dulu juga WAFAT bukan kerana kurang nutrisi atau kurang makan. Soalnya ialah bila dah beri semuanya kita akan jadi FAKIR. Bila kita fakir, kitalah orang terbaik untuk uruskan harta-harta yang kita lucutkan pemilikan itu.

Saya masih lagi menguruskan syarikat dan perniagaan yang dulu saya mulakan walaupun telah diwakaf. Masih lagi boleh guna kereta syarikat ketika perlu walaupun bukan lagi jadi milikan peribadi. Cuma yang tak boleh ialah MEMBAZIR atau BERBELANJA MENURUT KEHENDAK. Jika semua manusia berbelanja hanya apa yang PERLU, nescaya TIADA ORANG MISKIN dalam dunia ini.

Soal makan, minum, tempat tinggal pula? Memandangkan dah jadi fakir, saya dan sahabat2 saya dapatlah tempat tinggal, makan minum seperti yang lain-lain juga. Cuma tidaklah mewah dan banyak berpuasa KEMAHUAN. Kalau dulu setiap minggu makan waghyu, tetapi sekarang tidak lagi begitu, tapi kita share sama-sama. Satu waghyu sama dengan belanja makan 40 orang budak… jadi baiklah kita masak sama-sama. Ini ialah LEVERAGE atau dalam Al-Quran dipanggil “Konsep bumi yang diratakan” (gunung ditarah bagi menutupi lembah yang rendah sampai semuanya serata).

 

5. Bila orang yang BERADA tetapi MEMFAKIR diri dengan menyerahkan semuanya dan sama-sama mentadbir harta dalam konsep baitulmal.

Apa kes pula nak seleweng dana itu bila yang mentadbirnya ada 20 orang dan semua belanja perlu melalui syuro? Yang nak diseleweng itupun harta sendiri yang diberi ke situ.

Sebab itu, RPWP walaupun tidak meminta-minta, bas sekolah sahaja sampai ada 7 buah. Bukan kerana kita mewah, tetapi orang lain beli ‘bas baru’ SEBUAH sudah berharga RM1.2 Juta tapi kita beli bas tender dari bekas IPT, bas tender dari badan kerajaan, bas express pencen yang harganya secara relatif, sebuah bas baru boleh dapat 30 buah bas seperti yang kami guna. Bas pula selalu rosak-rosak. Bila rosak selalu kena repair dan automatik jadi bahan pendidikan anak-anak yang suruh pergi sekolah ikut pintu depan, dia lompat pagar belakang.

DI SITU CARA BAGAIMANA KITA UTAMAKAN KEPERLUAN, BUKAN KEMAHUAN. Ikutkan MAHU memang nak sangat beli bas baru Scania koyak plastik. Kita urus wang kita sendiri dari hasil yang kita laburkan sama-sama, bukan hasil bawa tabung ke hulu ke hilir minta derma. Kita tahu susah payah nak bangunkan perniagaan untuk menjadikan kita tidak bergantung pada pemberian orang semata-mata. Sebab itu kita kenal nilaian perbelanjaan kita.

 

6. Jadilah rumah kebajikan yang jika hari ini diberi sebutir mangga. Makan isinya dan tanam semula benihnya. Lain kali tidak perlu menunggu orang menghantar mangga lagi untuk kita dapat memakannya.

 

7. Semua pentadbir adalah juga merupakan tenaga kerja/buruh. Dari tukang masak sehingga ke pengetuanya ikut bermandi peluh tanpa menerima gaji, imbuhan, elaun atau komisyen. MALAH MEREKA SENDIRI TERPAKSA KELUARKAN APA YANG ADA DALAM SAKU MEREKA SELAGI ADA SISANYA (pada ketika ini, poket peribadi semua dah licin).

Dengan cara begini, tiada siapa yang suka nak berpolitik untuk jadi pengerusi atau pengetua supaya boleh pegang buku cek. Semua perbelanjaan diputuskan melalui SYURO walaupun nak ikan bilis jenis apa dan berapa jumlah nak dibelinya.

Penyelewengan? Alhamdulillah tidak berlaku jika takrifan itu seperti yang orang biasa faham.

TAPI DI RPWP jika co-founder BOLEH BELI IKAN RM5 sekilo dan kita terbeli RM5.10 sekilo, pada kami itu sudah satu penyelewengan, hanya kerana kita culas, tidak tawar habis sehingga dapat harga semurahnya. Satu barang kadang-kadang semua orang ikut ‘sourcing’ sampai dapat harga terbaik. Bukan 1 orang kononnya “procurement” yang buat, lepas tu boleh beli dari orang yang boleh undertable (sorry beb!…tak ada ruang langsung).

Kami percaya, cara lain untuk kita tambah pendapatan ialah melalui PENJIMATAN. ‘One dollar saved is one dollar gain’. Sebab itu, pentadbir RPWP SEMUA WAJIB PUASA. Bukan puasa bulan ramadhan sahaja, tetapi PUASA NAFSU sepanjang hayat. Bukan semua tak ada nafsu sedangkan sebahagian pengasas RPWP ini bukan asalnya orang miskin. Mereka mampu hidup mewah. Cuma mereka BERPUASA, menahan diri dari berbelanja mengikut MAHU, dan hanya berbelanja apa yang PERLU.

 

8. Pengurusan dana dibuat secara sistematik. Lebih kurang 250 orang warga RPWP ini sudah macam sekampung saiznya. Sebuah rumah flat yang ada 200 orang penghuni pun boleh buka sebuah kedai runcit, apa lagi kami yang sekitar 250 orang ni. Nak beli apapun biar secara borong, terus  dengan harga pembekal macam kedai runcit.

Oleh itu, nak beli apapun janganlah beli runcit-runcit nanti mahal. Nak beli ayam, ikan, sayur semua kami beli secara pukal untuk dapatkan harga borong dan dihantar ke rumah. Banyak item yang kami terpaksa stok dalam REEFER BESAR (bilik sejuk kontena berukuran 40×8 kaki).

Nak beli pakaianpun kami beli kain berlori-lori. Untuk jimat kos, KAMI ANAK BERANAK JAHIT SENDIRI dengan bimbingan jurujahit profesional. Tiba-tiba ramai pulak dah jadi pandai menjahit. Dari situ, kami jual pula kepada orang awam dengan jenama BERKUALITI milik RPWP seperti WERDA (Muslimah ‘Kembali Fitrah’) & SARC Menswear. Bila orang beli, bengkel jahitan kita dapat untung yang seluruhnya dipulang balik ke tabungan baitulmal kami semula. Semua yang menjahit juga termasuk dalam kalangan petugas SUKARELAWAN yang tidak bergaji. Mereka juga asnaf yang makan minum, tempat tinggal, DAN pendidikan semuanya di bawah tanggungan RPWP.

 

9. Orang ramai tak nampak logik bagaimana sebuah perniagaan boleh diwakafkan dan orang macam pengasas-pengasas RPWP tak ambil gaji tapi boleh survive. Cuba bayangkan begini,

Jika awak ada duit sendiripun awak akan belanja juga kan? Tak siapa nak larang kalau awak mampu beli dan nak pakai Ferrari kan?

Bezanya, KEHENDAK itu SEMUANYA dah switch off..!!. Kita utamakan KEPERLUAN SAHAJA, dan kali ini kita BELANJA DALAM KOMUNITI supaya banyak boleh jimat dan berkat.

Bila kita wakafkan company, ia seperti kita wakafkan sepohon mangga. Bila ada buah, semuanya kita serah dan ambil sedikit untuk KEPERLUAN makanan kita. Kita masih lagi kena jaga pokok mangga itu supaya tidak mati. Kita juga yang masih kena ‘pruning’ pokok itu dan membajanya supaya setiap musim buahnya semakin banyak. Kita juga yang kena pastikan buah mangga yang dimakan itu ditanam semula.

Itu jawapan mengapa lepas kami laburkan semua harta-harta kami, harta itu jadi berkembang-biak. Dulu kita mampu jaga 50 orang, sekarang kita sudah mampu jaga 250 orang. Akan datang kita mungkin mampu jaga 1000 orang tanpa perlu minta-minta derma.

Ada pula yang pelik… dah wakafkan company tapi dia juga jadi CEO walaupun tidak bergaji.

Ye lah, company tu kalau bagi kat orang lain jaga…tak tentu mereka tahu nak urus berbanding kita yang sudah 13 tahun menguruskannya. Itu tidak termasuk faktor ketirisan dan pecah amanah lagi. Kecualilah ada calun yang juga sanggup jadi CEO yang amanah, gigih, dan kerja tanpa gaji dan cuti. Dalam masa yang sama, anak-anak RPWP dah sedikit-sedikit diserap masuk dan diajar berniaga. Mereka ini yang akan teruskan legasi ini. Kalau wakaf company terus tukar CEO ‘biasa’, boleh lingkup apa yang diwakaf tu.

 

10. Jika nak harap sedekah tanpa diminta, alamatnya dapur rumah kebajikan hanya berasap bulan puasa sahaja. Orang semua galak nak buat kebajikan masa bulan puasa. Bulan lain, makan selipar, perca kayu dan pasir lah jawabnya. Ini kerana ganjaran amal jariah kononnya tidak lumayan. Tetapi, jika diurus seperti konsep buah mangga yang saya ceritakan di atas, isu bulan selain Ramadhan kena minta-minta sedekah pasti tak berlaku.

 

11. Orang yang tidak faham tentang perniagaan wakaf yang kami lakukan akan ingat KAMI PENUNGGANG AGAMA kerana menjalankan perniagaan dan mengatakan “Syarikat ini ialah syarikat milik penuh badan kebajikan anak yatim dan asnaf”. Terus jatuh hukum PENUNGGANG AGAMA.

Habis bagaimana pula dengan syarikat yang mengatakan “Syarikat ini milik Lim Ah Lek dan Keluarga”. Yang itu boleh pulak? Kita nak letak nama owner syarikat kepada badan kebajikan pula dituduh tunggang agama. Ape ni!!! Padahal syarikat wakaf yang kami buat BUKAN DIBANGUNKAN DENGAN MENGUTIP DANA WAKAF DARI ORANG AWAM DAN KEMUDIAN DINIAGAKAN (kerana pengutipan wakaf itu adalah hak Majlis Agama Islam Negeri), TETAPI syarikat wakaf RPWP ini datang dari pelbagai perniagaan pengasasnya yang diwakafkan dan dibangunkan bersama-sama.

Syarikat wakaf ini juga diaudit seperti syarikat biasa dan turut membayar cukai. Selain itu, ia diaudit juga oleh RPWP sendiri. Jangan ingat RPWP sebuah rumah kebajikan tidak ada akauntan bertauliah sepenuh masa. Perniagaan wakaf ini bukan macam bisnes orang kampung jual siput sedut. Selain beberapa graduan accounting, senior accountant dari Deloitte juga salah seorang dari team pentadbiran akaun RPWP.

 

12. ANGKAT BADAN KEBAJIKAN untuk ditadbir urus secara professional. Memang kita percaya kepada ustaz-ustaz yang menguruskannya secara spiritual (walaupun ada kes yang makan tepi juga), cuma jika mereka ini keluar dari pondok pengajian kemudian menjadi pentadbir, pasti mereka memerlukan banyak bantuan kerana mereka tidak belajar banyak perkara dalam urusan pentadbiran sebelumnya. Bukan untuk dikondem, tetapi bantulah mereka.

 

13. Orang awam jangan hanya tahu kondem kenapa rumah kebajikan ini kotor dan buruk, atau kenapa budaknya ramai sakit sahaja…

Sebaliknya datang dan masuk untuk lihat SENDIRI apa yang anda boleh buat. Jika rasa kotor, cuba tanya kenapa? Tak cukup tong sampah? Tak ada lori sampah datang kutip? atau bagaimana? Kemudian BANTU apa yang mereka perlu..!! Bukan hanya ”tekan keyboard’, masukkan dalam Facebook dan viralkan konon-konon rumah ini kotor dan perlu diambil tindakan. INILAH HABIT KEYBOARD WARRIOR.

Jika kena tutup nanti, bukankah ada ratusan anak yatim dan asnaf yang akan perlukan tempat tinggal lain? Kecualilah jika ada tempat lain yang anda sendiri nak bagi. Padahal, tindakan itu boleh saja BERMULA dari tangan-tangan anda sendiri.

Tapi inilah hakikatnya, ramai orang suka komplen tetapi mereka lupa, tanggungjawab menjaga anak yatim dan asnaf bukan tanggungjawab kerajaan atau pentadbir rumah kebajikan semata-mata, tetapi INI TANGGUNGJAWAB KITA SEMUA. Cuma mereka ini tak reti nak berterima kasih ada orang tolong galang tanggungjawab mereka. Tahunya hanya komplen dan kondem sahaja. RPWP yang guna dana sendiri ini pun orang komplen itu ini. Apatahlagi kalau jenis yang selalu mintak derma… lagilah mereka rasa ada hak mutlak untuk kacau dan komplen sampai ditutupnya rumah kebajikan itu oleh pihak berkuasa.

 

14. Pertimbangkan untuk kenal rumah kebajikan yang berhampiran anda. Jangan datang terus bawa beras kerana anda bukan berseorangan berfikir begitu. Ramai lagi fikir macam tu dik. Maka bergudang-gudang beras rumah kebajikan dapat sampai banyak yang rosak dimakan bubuk. Di RPWP, kami terima sahaja walaupun beras kadangkala sampai selori banyaknya. Cuma selepas itu kami usahakan untuk diagih semula kepada asnaf, warga tua, dan kejiranan yang memerlukannya.

Ada badan kebajikan lain yang siap buat poster “KAMI HANYA TERIMA WANG TUNAI, BERAS SUDAH BANYAK”. Apatah lagi pakaian terpakai, dari jauh mereka sudah tolak.

Kena ingat juga, selain beras, rumah kebajikan memerlukan banyak lagi perkara seperti minyak masak, ikan bilis, cili kering, dapur, kipas ceiling, sabun mandi, mesin basuh, dryer, batu, simen, besi, lori, van, tangki septik, thumbdrive, kamera, tangki air, sparkplug, minyak diesel, minyak petrol, kain, mesin rumput, ubat, daging, ayam, kopi, playwood, minyak hidraulik, minyak pelincir, pasir, precast concrete, i beam, y bar, c channel, zink, coating paint, papan, wire, internet jalur lebar dan lain-lain.

Kalau confuse sangat tak tahu nak bagi… datang lihat sendiri. Tanya diri sendiri apa yang mereka perlu. Jika susah nak fikir dan masih yakin dengan pengurusan rumah itu… berikan sahaja duit. Dari duit boleh jadi semua yang diperlukan di atas.

Jangan sentiasa fikir kalau beri duit nanti pentadbir yang ambik, budak-budak tak dapat apapun… Memang bagus berhati-hati begitu supaya orang yang tidak genuine dan penipu tak dapat nak menipu. Tapi janganlah sampai terlalu kedekut nak TRUST. Padahal boleh pula murah hati beri “sedekah” kepada scammer Myanmar yang pakai jubah minta sedekah dengan bawa sijil fotostat dari mana-mana madrasah luar negara yang kita tak boleh pun nak sahkannya… yang itu boleh pula bagi tunai (cuba beri dia beras kalau dia nak pikul).

 

15. Usahakan buat rumah kebajikan SEPERTI RUMAH SENDIRI. Bukan macam rumah orang lain. Kalau tak cantik, kita cantikkan. Kalau kotor, kita bersihkan. Kalau tak cukup duit, kita sendiri carikan dengan bisnes dan usaha-usaha lain bukan semata-mata mengharap sedekah.

 

16. Dalam Malaysia atau dalam dunia ini, anda boleh lihat antara orang yang anda beri mangga hari ini dan 5 tahun ke depan dia dah ada pokok mangga yang berbuah, BERBANDING dengan yang hari-hari perlukan mangga. Cuba buat pilihan… yang mana satukah tempat yang sedekah anda itu bercambah dan bukannya berkurang.

Sebab itu RPWP yang sama-sama kami galang ini, walaupun ada yang cakap kami ‘tunggang agama’ sesedap mulut, dan paling teruk menuduh memakan harta anak yatim itu, mampu dikembangkan. Dulu 50 orangpun tak sampai, sekarang dah ada 250 orang. Kalau dulu tak ada sekolah, sekarang dah ada sekolah rendah, sekolah menengah dan institut latihan tinggi & pusat kemahiran sendiri. Jika dulu tak ada bas, sekarang dah ada bas. Jika dulu ada masalah transport, sekarang dah ada used car sendiri. Jika dulu tak ada perniagaan, sekarang dah ada banyak perniagaan yang menyokong perekonomian.

Nak makan harta anak yatim bagaimana jika harta yang ada semakin bertambah dan berganda? Kalau dimakan tentunya ia jadi semakin susut.!!

17. Pandangan awam juga perlulah bersih. Janganlah asal nampak pelik sahaja terus cop ada gerakan bawah tanah. Asal nampak pelik sikit terus report JAIS kononnya bawa ajaran songsang. Nampak susah nak percaya bila ada yang boleh tadbir pendidikan, ekonomi, serta sosiologi sendiri sahaja terus kena cop “Ini Arqam”.

Come on guys! Kalau sekalipun orang cakap MACAM ARQAM sistemnya, cuba lihat…Arqam itu kan mengambil sunnah nabi untuk diikuti.. dan kebetulan, bahkan sewajibnya kami juga mengambil sunnah YANG SAMA untuk diamalkan. Bila hasilnya NAMPAK SAMA, bukan kerana kami ikut Arqam, tetapi kerana kami ikut SUNNAH YANG SAMA yang Arqam ikut. Soal Arqam itu dikatakan menyeleweng hanyalah pada sudut aqidahnya. Tidak semestinya semua yang Arqam buat itu salah dan tak boleh kita nak TERSAMA langsung.

Persepsi sakit hati, benci dan buruk sangka tu sila buang jauh-jauh. Hari ini ada yang menuduh golongan seperti kami ini pemakan harta anak yatim. Padahal semua harta yang kami ada pun dah kami bagi pada anak yatim. Malah dengan titik peluh sendiri kami usahakan lagi perkembangannya melalui segala perniagaan yang ada. Bukan jenis usaha sekadar membawa tabung derma merata rata!!!

Tidak takutkah nanti kamu sendiri menyesal dan merangkak mencari orang yang kamu FITNAH kononnya memakan harta anak yatim? Padahal itulah orang yang sebenarnya PEMBELA mereka!!! Kecualilah untuk merangkak di masyar itu memang sudah jadi destinasi ultimate kamu sendiri.

Jika tidak tahu, sila ambil tahu dahulu. Bukannya kita ni badan kebajikan yang tutup pintu macam rumah Yakuza. Datang, berkenalan secara dekat, dan kaji sendiri sistemnya. Kemudian lihat sendiri apakah peranan yang boleh kamu mainkan.

Patutnya kena cili mulut dan burung orang yang mengata tu.

 

18. Banyak lagi kalau nak cerita, boleh buat buku kalau nak cerita semua bagaimana sebuah badan kebajikan wajar diuruskan, dan bagaimana konsep baitulmal boleh dikembalikan seperti peranannya pada zaman Rasulullah saw dahulu.

Hasilnya, komuniti 250 orang ini adalah komuniti yang mampu hidup TANPA HUTANG & BEBAS RIBA’, tanpa INSURAN namun tetap terjaga, tanpa SIMPANAN tetapi terjamin masa depannya.

Hari ini kalau saya mati pun saya tak risau anak isteri merempat tak makan, kerana saya dah buat rumah anak yatim dan ibu tunggal sebelum anak saya menjadi yatim dan isteri saya menjadi balu.

 

19. Bukan kerana kami kaya, tetapi kami nampak MACAM KAYA hanya kerana menahan diri dari meminta-minta. (ALBAQARAH:AYAT 273)

Perbelanjaan RM200k-300k sebulan itu banyak?

Tunggu dulu… cuba pecahkan RM200 ribu itu kepda 250 kepala. Ia jatuh RM800 sekepala sedangkan kami tidak kenakan bayaran untuk anak-anak yatim dan asnaf. Tahukah anda ada Maahad dan sekolah antarabangsa yang kenakan yuran berkali ganda dari itu? Tahukah anda ada nursery yang ambil upah melebihi RM1K sebulan?

Di RPWP, itulah untuk biaya segalanya, baik untuk makan pakai mahupun tempat tinggal. Itu belum masuk lagi keperluan pembangunan dan pembinaan. Belum legi cerita tentang sakit pening, pendidikan, pengangkutan, utiliti dan macam-macam lagi.

Sekalipun jika satu hari nanti RPWP mampu untuk tanggung sampai RM500k sebulan, kami tetap akan TERUS BERPUASA kerana jika kemampuan menjadi lebih, mungkin jumlah anak-anak juga akan bertambah. Anak yatim hampir saban minggu mengetuk pintu. Kami BERAZAM untuk tidak akan berkata MINTA MAAF TEMPAT DAH PENUH kerana rumah ini adalah RUMAH MEREKA. Kita yang mentadbir inilah yang kena PERAH OTAK bagaimana nak cari dana dengan pelbagai cara. Siang malam kena cari sumber dana untuk belanja beli tanah, beli bahan binaan bahkan pada masa yang sama kena perah tenaga sendiri untuk kerja-kerja membina bangunan itu. Azam kami supaya setiap anak yatim yang datang mengetuk pintu… kami akan sentiasa ada tempat untuk mereka.

 

20. Kita memang akan cenderung ‘melihat dan menilai sesuatu’ sepertimana diri kita sendiri. Ramai yang berfikir positif KERANA mereka memang orang yang tahu perkara ini wajar.

Yang membuat tuduhan ‘penunggang agama’ dan ‘pemakan harta anak yatim’… mereka ini adalah seperti diri mereka sendiri, lalu berfikir kita ini sama seperti dia… Jika dia ialah kita, maka dia akan makan harta anak yatim dan menunggang agama. Sebab itu mereka yakin sangat kita ini sejahat mereka.

Tahukah anda walaupun RM5 sedekah diberi kepada sukarelawan kami yang pandu lori sewaktu kehausan memikul barang terpakai yang disedekahkan juga akan diserahkan kepada Lajnah Maliah (bendahari) RPWP? Jadi, jangan kerana awak sendiri tak boleh buat, awak anggap semua orang lain tak mungkin boleh lakukannya. Dari situ kita boleh nilai siapa mereka.

 

21. Cukuplah sampai di sini, terima kasih kerana KENTAL membaca. Sila share artikel ini supaya mampu memberi ilham kepada anda sendiri untuk membangunkan sebuah komuniti kebajikan dan mungkin memberi idea kepada komuniti kebajikan untuk lebih professional dalam pentadbiran.

Segala yang baik itu datang dari Allah, juga dari RPWP, organisasi yang saya wakili. Yang buruk itu semuanya dari kelemahan peribadi saya sendiri.

Setelah baca, sila berikan kepada saya di ruangan komen…nombor berapakah yang paling terkesan pada anda? lebih dari satu pun tak mengapa…tapi yang paling terkesanlah.

SAIFUL NANG
Pengasas Bersama
RUMAH PENGASIH WARGA PRIHATIN

GROUP CEO
Colours of Asia Group (syarikat wakaf)
– Werda & Sarc
– Saiful Nang Academy
– Rarecation
– CandidSyndrome International

Comments

comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: