News!!

Mengapa pendidikan di Malaysia mundur?

2016-11-16-14-31-07

Semasa sessi forum di INTAN Sabah.

Minggu lepas, saya dijemput bersama memberi perkongsian tentang pemerkasaan Gen-X dan Y dalam dunia hari ini di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Sabah. Ia dihadiri sekitar 500 orang peserta yang datang dari sektor awam di Malaysia Timur. Pada mulanya, saya juga kurang jelas expectation penganjur namun apabila dinampakkan kepada saya tentang perkongsian dari seorang Gen X, maka saya hanya perkatakan yang saya tahu dan buat.

Pembentangan pertama dilakukan oleh seorang pegawai tinggi dalam perkhidmatan awam. Dalam ucapan beliau dengan bangga dinyatakan tentang beberapa banyak buku yang telah dibaca oleh beliau sehingga hebatnya mampu memetik kata-kata penulis tentang sesuatu perkara terletak di mukasurat berapa buku itu. Itu dia, memandangkan katanya umurnya tinggal beberapa bulan sebelum persaraan, maka saya anggap beliau datang dari generasi Baby Boomers. Saya kagum dengan itu dan meraikan perbezaan generasi.

Giliran saya tiba pada pembentangan kedua. Saya mulanya terkejut kerana MC mempersilakan saya untuk membentangkan kertas kerja saya di atas pentas. Saya tidak pandai bekertas-kertas kerja sangat tapi insyaAllah kerja boleh buat. Kertas kerja tidak tebal mana tetapi yang penting usaha kerjanya yang kuat dan bersungguh-sungguh.

Berikut adalah intipati ucapan saya selama sekitar 1 jam semasa di auditorium INTAN Sabah.

  1. Generasi baru Vs Lama
  2. Pendidikan kita terkebelakang kerana kita takut berubah
  3. Pendidikan kita hari ini memakan masa dan merugikan
  4. Ubah paradigma dalam cerita  Melayu lama

Sudah ada intisari yang mahu saya sampaikan, saya fikir elok saya ulas satu persatu. Mana mungkin 1 jam ucapan boleh saya ringkaskan dalam artikel yang saya cuba sependek mungkin namun mampu memberi penjelasan.

photo-14-08-2016-6-25-18-pm

Salah satu kaedah pendidikan terbesar AIP ialah “Bekerja”. Dengan kerja kita jumpa masalah, dari masalah kita cari penyelesaian. Dari penyelesaian itu kita inovasikan ilmu.

GENERASI BARU VS LAMA

Ketika pegawai tinggi yang pertama memberi ucapan ketika beliau memberikan quote kurang lebih berbunyi

“Menurut Steven Baldwing (nama rekaan) di dalam bukunya bertajuk “How to be a Monkey” di mukasurat 487 dan 488 beliau berkata……”

Saya menjadi lebih kagum. Sesuatu yang tak mungkin orang seperti saya boleh lakukan. Hafazan beliau sangat bagus dan sekali lagi saya lihat, inilah perbezaan generasi. Generasi beliau pasti cikgu jadikan sifir sebagai perkara wajib yang mesti dihafal. Saya pula hafal sifir untuk exam tetapi some complex operation seperti 9×7 saya lambat sikit nak ingat dan tidak keluar secara instant.

Beliau sebelum itu bersama saya pada waktu minum pagi, dan sentiasa membuat ayat-ayat pernyataan seperti

“Saya seorang pemidato”
“Saya suka membaca”
“Hadiah paling saya suka ialah buku”
“Saya banyak baca buku dan saya tak boleh hidup tanpa buku”

Kemudian beliau tanyakan saya, apakah bacaan yang generasi saya suka baca?

Teruslah saya jawabnya dengan satu penjelasan tentang perbezaan generasi. Itulah beza antara generasi Encik dan generasi saya. Generasi encik dahulu, berita hanya dibaca dari suratkhabar dan menonton berita TV. Zaman saya lain kerana saya boleh pilih berita mana saya nak lihat dan saya boleh banding dengan berita dari pihak yang lain pula. Zaman encik dulu, kena tunggu jam 4.30 petang untuk tonton rancangan bersiri Jepun Osyin dan Oyuki. Tapi zaman saya, kami tak tunggu tapi kami pilih apa nak tonton dan bila nak tonton. Zaman encik dulu orang belajar pergi library, zaman saya orang belajar pakai handphone. Zaman encik dulu, kirim surat pakai post dari KL nak ke Kota Kinabalu, 5 hari baru sampai dengan setem 15 sen tapi zaman sekarang kami dah guna whatsap. Jika dulu encik nak cari ilmu perlu baca banyak buku tetapi zaman saya jika mahu cari ilmu, kita boleh search dari google, Scopus atau jika cari buku terus pilih chapter mana yang diperlukan bukan hadam semua buku tetapi yang diperlukan hanya kurang 1 bab.

Zaman kita tidak sama, dulu mak ayah suka kalau encik baca buku. Zaman sekarang, mak ayah saya tak nampak saya baca buku tapi dia nampak saya “main computer” tapi bila peti sejuk rosak, saya “main komputer” lepas itu boleh troubleshoot dan repair peti sejuk.

Lalu jawapan saya selepas penjelasan itu “Saya menulis 2 buah buku National Bestseller dan percayalah, saya tak habis baca kedua-dua buku yang saya tulis apatah lagi nak khatam semua buku dengan hafal mukasurat tertentu untuk content tertentu”

Perkara yang sama saya bawa dalam ucapan saya. Hari ini, jangan tanya saya buku apa saya dah baca tetapi apabila masalah sampai, saya tahu mana buku nak cari, mana guru nak rujuk, mana video nak search, mana google nak bantu.

Yang paling penting bukannya berapa banyak buku saya baca tetapi berapa banyak masalah saya dapat selesaikan dan berapa cepat masalah itu diselesaikan. 

Beliau juga melihat perbezaan antara dia dan saya. Berbeza generasi, berbeza pola fikir mengikut cara dan berbezanya informasi diperolehi.

Percayalah, dunia dah banyak berubah dari tahun 1957 sehingga sekarang. Dulu sekolah perlu dibina besar untuk muatkan ramai orang, sekarang sekolah ada di atas riba dan atas tapak tangan kita. Dahulu perlu mengembara untuk kenal budaya lain, sekarang semuanya ada dalam talian. Dahulu orang dikurung sebagai hukuman, sekarang memutuskan talian internet lebih siksa dari dikurung dalam bilik berkunci. Namun, ada satu perkara yang tidak banyak berubah….PENDEKATAN PENDIDIKAN KEBANGSAAN.

photo-14-08-2016-6-36-16-pm

Alam ialah sekolah yang luas untuk anak-anak RPWP. Satu pendidikan tanpa sukatan seperti di dalam ladang pelbagai buah, ambil dan  makanlah mana-mana buah yang dimahukan.

photo-14-08-2016-6-35-54-pm

Saya bersama anak-anak RPWP bawa mereka bersiar-siar di Tanjung Karang.

PENDIDIKAN KITA TERKEBELAKANG KERANA KITA TAKUT BERUBAH

Saya tidak kata pendidikan kita tidak berubah langsung namun sebenarnya ia tidak banyak berubah dari dahulu hingga sekarang. Jika sekolah dahulu ada papan hitam dan buku kemudian peperiksaan. Pada hari ini, pendidikan juga ada buku, ada papan tulis dan ada peperiksaan. Yang berubah hanya murid dan gurunya. Pendekatan sama sahaja, katanya evergreen.

Saya sendiri seorang pelajar yang dahulu terseksa dengan sistem bilik darjah. Dunia tanpa sempadan disekat dengan 4 dinding kelas dengan 2 pintu. Jika tidak pandai belajar bermakna tiada masa depan. Sekolah pula mengajar perkara yang telah ditentukan oleh kerajaan.

Saya masih teringat, semasa Akademi Insan Prihatin (AIP) ditubuhkan antara sebabnya apabila seorang anak yatim kami dinasihati berhenti sekolah semasa darjah 6 kerana akan mencacatkan prestasi sekolah, maka di situ kami bina sekolah sendiri. Silibus kebangsaan menjadi penanda aras sahaja tetapi pendekatan diubah lebih pragmatik dan bukan teoristik dan retorik. Kami ambil pendekatan pendidikan nabi-nabi sebagai pendekatan rasmi.

Nabi Musa belajar dari Nabi Syuib dengan pendekatan BEKERJA
Nabi Musa belajar dari Nabi Khidir dengan pendekatan KEMBARA
Nabi Sulaiman belajar dari Nabi Daud melalui PENGLIHATAN
Nabi Muhammad dipandaikan semasa awal umur dengan BEKERJA
Nabi Muhammad dipandaikan seterusnya dengan BERNIAGA
Nabi Muhammad dipandaikan seterusnya dengan MEMIMPIN
Nabi Muhammad dipandaikan semasa kerasulan dengan WAHYU.

Wahyu pula datang dari IQRA. Orang kata Iqra itu BACA, tetapi nak dibaca apa jika itulah wahyu pertama yang turun? Secara linguistik TILAWAH itu juga diterjemah sebagai BACA. Maka apa beza BACA IQRA dengan baca TILAWAH?

Iqra ialah pembacaan tanpa teks tetapi konteks. Tilawah ialah bacaan teks yang terlahir dari pembaca konteks. Mudahnya begini, hari ini, kita ajar anak untuk melihat tapi tidak meneliti. Kita ajar anak pandang tanpa analisa. Maka lebih tepat, pendidikan kita hari ini ialah pendidikan berdasarkan TILAWAH dan bukan IQRA. Jika susah nak faham, saya berikan contoh. Dalam kelas kita diajar sesuatu yang telah dituliskan dan itulah tilawah. Namun bila kita berhadapan dengan satu permasalahan yang tiada dalam buku, kita akan lost dan tidak tahu nak buat apa kerana pendidikan kita tidak berdasarkan konteks tetapi teks.

12363155_10154398818742786_5501546067473156518_o

Bas ini hasil airtangan anak-anak RPWP yang sebahagiannya telah ditarafkan sebagai pelajar tercicir di dalam pendidikan aliran perdana.

Semasa AIP ditubuhkan, saya ada pernah menulis tentang pendekatan problem-based-learning. Ada yang ketawakan juga, katanya…apa beza dengan PBL yang ada di sekolah. Ada beza sikit, PBL di AIP tidak diukur pada peperiksaan tetapi projek. Sebuah bas dua tingkat terpakai dibeli dengan harga RM80,000 sedangkan harga barunya bernilai RM1 juta. Namun dengan harga itu, bas itu bukanlah bas yang mampu berjalan di atas jalanraya. Kita berikan anak-anak AIP ini task untuk baikpulih dan rewardnya ialah, bas itu mereka punya nanti. Maka dengan team lebih kurang 20 orang dengan panduan dari murobbi yang pakar dalam mekanikal, eletrikal, paintwork, bodywork dan pendingin hawa dan rujukan dari pakar-pakar luar bas itu sudah mampu berjalan sejauh Kelantan selepas itu.

Itulah peperiksaan mereka. Setelah mereka siap sebuah bas, yang lain sudah jadi mudah. Terkemudian, datanglah lori, kren, kereta, jentolak semuanya mampu dibaikpulih. Yang penting ialah bagaimana mereka menumpukan kepada mencari penyelesaian masalah berbanding menjawab kertas peperiksaan. 90% bebanan tekanan anak-anak ini hilang tanpa peperiksaan. Tekanan yang tinggal ialah bagaimana mahu selesaikan masalah yang realistik. Namun, itu satu nikmat kerana ia bukan simulasi atau teori. Pembelajaran jadi terlampau menyeronokkan sehingga disuruh tidur pun tak mahu.

photo-16-03-2014-1-50-52-pm

Irfan ketika foto ini diambil baru berusia 14 tahun. Ketika itu, penghasilan dari kerjatangan beliau mengjangkau RM2-3k sehari jika mahu dikira. Mahir dalam bodywork, paintwork dan mekanikal. Kini, dia juga mahir dalam pendawaian eletrik.

Inilah pendidikan tanpa keciciran. Mengapa tidak ada keciciran? Kerana semuanya kita bawa sama mengikut kecenderungan mereka. Jika kita anggap semua anak murid di sekolah itu anak kita sendiri, sebodoh dan selembab manapun anak kita…tak mungkin kita akan tinggal.

Kita rindu juga guru seperti itu. Guru yang benar-benar guru yang mengajar tanpa batasan tugas dan gaji.

Berapa banyak fizik, matematik, kemahiran hidup, sains yang digunakan dalam membaiki sebuah bas? Ada sikit tetapi mereka tidak perlu belajar seluruh 300 mukasurat buku hanya untuk guna 2-3 mukasurat ilmu. Masa kita singkat, pilih apa yang kita mahu tahu kerana kita pasti tak akan mampu untuk tahu semua.

Pada ketika saya tuliskan dahulu, AIP ialah sekolah yang tidak berasaskan sukatan pelajaran malah pelajaran anak-anak ini tidak bersukat-sukat. Ketika itu ada orang mengkritik persekolahan tanpa sukatan, dan apabila kemudiannya Finland mengeluarkan kenyataan untuk melaksanakan persekolahan tanpa silibus, ketika itu orang-orang yang mengkritik itu saya perhatikan memberikan isyarat “bagus” kepada Finland. Mengapa?

Kerana kita orang Malaysia, kita tidak lebih hebat dari Mat Saleh. Bila kita buat orang kata kita buruk. Bila Mat Saleh buat mereka kata itu semua bagus. Bila Mat Melayu cakap English terabur, satu negara kecam bila Mat Italy cakap English broken rotten satu negara buat senyap.

Itu punca, kenapa kita tidak maju kerana KITA TAKUT NAK BERUBAH. Kita takut buat perubahan. Kita nak berubah pun tengok orang lain dahulu baru kita nak ikut sedangkan pada cerita nabi-nabi dahulu ada banyak sampel boleh dirujuk.
1 PEPERIKSAAN UNTUK SEMUA ITU KURANG ADIL

Memang ada peperiksaan vokasional dan agama selain dari SPM. Namun, adakah TV dan suratkhabar kita memberi ruang untuk highlight inovasi pelajar SVM? Biasakan kita lihat dalam dada akhbar dan TV drama tangisan gembira anak-anak yang dapat straight A SPM? Sehingga boleh dapat tokoh Maal Hijrah lagi tetapi adakah kita biasa lihat anak-anak kita yang cemerlang dalam SVM atau inovasi mereka masuk ke dada akhbar dan TV?

JARANG!

Kerana mereka ini underdog. Tidak dipandang. Dalam masyarkat sendiri mereka tidak dipandang. Dalam kementerian juga sama. Mereka mengkelaskeduakan pendidikan jaluran kemahiran. Mengapa kita masih fikir semua manusia sama sedangkan cap cari kitapun semuanya berlainan. Selama ini kita mempercayai ikan, kambing, unta, monyet, kura-kura, biawak, ular semua boleh menduduki peperiksaan memanjat pokok. Maka kita percaya dengan peperiksaan itu bahawa kura-kura, kambing, unta dan ikan adalah OKU ataupun lembam. Sedangkan bila diuji Si Ikan dalam lapangan renang, ketika itu monyet yang cemerlang peperiksaanpun akan jadi lembam dan ditarafkan OKU.

photo-02-03-2014-1-19-18-pm

Tanpa sukatan, projek menjadi ukuran fungsi akal. Tidak perlukan exam kerana nanti mereka berlumba. Bila mereka berlumba-lumba nanti mereka mula jadi selfish kerana setiap orang mahu menang. Dasar pendidikan AIP ialah KOPERATIF dan bukannya KOMPETITIF.

PENDIDIKAN KITA HARI INI MEMAKAN MASA DAN MERUGIKAN

Ini juga salah satu intipati ucapan saya di INTAN Sabah. Bukan sekadar di hadapan penjawat awam muda tetapi di hadapan seorang veteran pendidik dan saintis Prof. Madya Dr. Rem Dambul (tepuk tangan sikit). Jika dah namanya Professor tu kan, semua kena tahulah, ini orang banyak membaca dan banyak menulis dan pasti banyak ilmunya.

Saya jelaskan, dahulu semasa di universiti, buku yang perlu dipelajari setiap semester sehingga graduate rasanya penuh 2 rak buku. Semasa bekerja, saya hanya praktis kurang 5% dari apa yang saya pelajari di universiti. Mengapa saya perlu buang masa belajar sesuatu yang saya tidak perlukan? Bukankah 95% itu saya boleh gunakan untuk membaca apa yang saya benar-benar perlu tahu.

Tak boleh! kenapa?

Kena ambil exam. Mana boleh exam keluar soalan apa yang kita mahu jawab sahaja?

(akur dengan CGPA 3.21 – Takde harapan jadi menteri)

Cuba kita suakan satu masalah di hadapan mereka secara realistik. Contohnya, bagaimana kami menguruskan 10 cubic concrete dari lori mixer yang datang dalam masa 10 minit? Mustahil. Dengan jentera yang adapun concrete boleh diratakan pada kadar 1-2 jam dan itu sangat memakan masa. Lagi lama, konkrit semakin mengeras. Lalu terciptalah dengan masalah itu satu penarik kecil merata simen tapi ditarik dengan kederat manusia. 2 jam menjadi 1jam 30 minit untuk merata tetapi tidak level. Kemudian inovasi itu dipertingkatkan dengan menggunakan besi angle lebih berat dan panjang yang kemudian ditarik oleh jentera. Besi panjang itu mampu merata dan melevel konkrit dengan lebih pantas. Namun, tenaga manusia masih digunakan untuk melicinkan konkrit. Kemudian inovasi itu dikembangkan dengan menambah 1 lagi sisi dengan besi angle lain yang berperanan sebagai pelicin. Maka tenaga manusia hanya digunakan untuk touch-up sahaja.

Buruk? memang buruk. Lebih elok buruk tetapi kita punya dari cantik tapi beli pada orang lain. Sampai bila-bila kita tak mencipta apa-apa jika sentiasa di ejek. Hari ini mungkin buruk, inovasi yang kali keberapa nanti mungkin menjadi teknologi yang boleh didagangkan.

Teknologi terhasil dari masalah manusia di sekitar mereka. Dalam buku manakah anak-anak ini mampu membuat inovasi begitu? Tidak dari buku tetapi dari pemerhatian mereka dan penggunaan akal yang optimum. Bila anak-anak ini telah mencipta dan kemudian katakan mereka menuliskan buku “How to manage 10 cubic meter concrete in 30 minutes” lalu dibeli oleh universiti dan menjadi rujukan siswazah. Semasa buku itu dirujuk, teknologi yang ditulis itu telah berkembang lebih jauh dan ilmu yang mereka dapat dari buku TIDAK UP TO DATE.

Prof Madya Dr. Rem Dambul perhati jer dari bawah stage sambil menggaru-garu dagu dan sekali sekala kelihatan dia seperti kepanasan dalam aircond yang sejuk.

Pendidikan kita sepatutnya mengasah fungsi akal dan bukan membuatkan akal kita malas dan hanya guna otak untuk menghafal  kerana apa yang kita hafal hari ini tidak semestinya mampu selesaikan masalah kita esok. Jika guna akal, insyaAllah kita mampu selesaikan apa sahaja masalah yang datang.

Sebab itulah, Saiful Nang Academy juga menggunakan pendekatan yang sama. Kami dapat shortcut pembelajaran dalam bidang fotografi dan video selama 4 tahun di universiti hanya dalam 4 bulan. KENAPA? Kerana mereka hanya belajar yang mereka perlu sahaja dan bukan apa yang saya nak mereka belajar. Lebih cepat…lebih jimat walaupun sijilnya tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Sama macam saya, mana saya ada sijil atau ijazah dalam fotografi tetapi satu dunia saya lacak dengan fotografi. Belum ada satu pelangganpun minta saya tunjuk sijil saya kerana my WORKS SPEAK LOUDER. Tidak lupa juga, barisan akaun staff dalam kumpulan syarikat kami ada yang baru berumur 17 tahun dah pandai buat tax audit. Cuma nak sain sahaja tidak ada sijil.

The best part was, selepas itu Dr. Rem Dambul pula membuat pembentangan. Hampir separuh pembentangannya mengulas apa yang saya katakan dan beliau sangat bersetuju dengan apa yang saya katakan sekalipun beliau tahu tiada banyak boleh diubah dalam sistem sedia ada di universiti asal beliau. Beliau sealiran fikiran dengan saya sebenarnya. Menjadi pensyarah di UMS, orang kenal beliau dengan pensyarah yang suka buat “open book” exam. Itu bermakna, jawapan bukan datang dari hafalan buku tetapi kefahaman dalam memahami konteks berbanding teks.

Gimme five Dr. Rem!

Dalam setiap masalah mesti ada banyak penyelesaian. Dalam nak selesaikan satu masalah ada banyak buku boleh dirujuk (bukan setiap buku kena baca khatam tetapi mana yang perlu sahaja), dan banyak search boleh dibuat, ramai individu boleh dirujuk yang penting…masalah selesai.

Sebagai majikan, hari ini masalah terbesar saya ialah bila graduan tidak pandai buat kerja. Kenapa? Mereka terlalu bergantung kepada akal penulis buku dan bukan akal sendiri. Akhirnya, tak banyak yang dipelajari di universiti mampu digunapakai.

Perlu ingat satu perkara…adakah kita belajar untuk sekadar kumpul ilmu dan mati seabgai orang yang BANYAK ILMU tapi tak pakai? atau kita mahu memajukan diri, agama, bangsa dan negara dengan menyelesaikan pelbagai masalah sehingga dirujuk oleh orang lain cara kita.

Cukupkah hampir 60 tahun kita merdeka, semua perkara dah berubah pesat tetapi pendidikan masih mengekalkan gaya yang sama dengan pertukaran sedikit kosmetik sana sini setiap kali bertukarnya menteri.

UBAH CERITA DONGENG MELAYU YANG ANTI-INOVASI

Dari kecil kita dibesarkan dengan dendangan cerita Si Luncai. Kita lihat seperti Si Luncai itu loser sedangkan dia seorang yang bijak sampai boleh mengakal pengawal-pengawal istana yang membawanya untuk hukuman mati.

Mentaliti kita sepatutnya sehebat Mat Jenin. Kita berimaginasi dari kecil sampai ke besar dan bukan semua nak ambil short-cut. Dari ayam menjadi kambing kemudian lembu. Dari miskin sampai menjadi usahawan ternakan lembu. Cuma silapnya ialah dugaan dengan wanita bernama Princess. Kita hanya cenderung lihat kepada jangan berimaginasi kerana akan jatuh pokok tetapi sekiranya tiada imaginasi, sampai bila-bila kita tak ke mana-mana. Program Angkasa NASA juga bermula dari angan-angan yang kemudian diusahakan.

Yap yang juga bapa kepada Mat dalam karakter Kampung Boy nukilan Datuk Lat benar-benar menggambarkan bagaimana inovator Melayu sering gagal dan digelakkan orang kampung. Saya lebih memihak kepada Yap yang banyak menginovasi sesuatu berbanding dengan orang kampung yang konon macam bagus jer dok gelakkan Yap. Isteri Yap juga hebat kerana sentiasa sabar dengan kegagalan Yap.

Kita dah hidup dengan semua cerita rakyat yang mengekang kita berkarya menjadi generasi pencipta. Ubahnya sekarang, yang dahulu betul sekarang belum tentu lagi betulnya. Jangan takut memperbetulkan kesilapan nenek moyang kita. Kesilapan bukan untuk kita warisi.

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) bukan kertas peperiksaan ujiannya tetapi lapangan masalah. Kemahiran berfikir datang dari masalah yang perlu diselesaikan dan bukannya peperiksaan yang perlu dihadapi. Bagaimana boleh kita katakan sesuatu jawapan itu patut tinggi atau rendah markahnya jika kita sendiri tidak dapat melihat sejauhmana pemikiran mereka menyelesaikan masalah. Ikutkan skema, Nabi Muhammad s.a.w akan dipandang kurang bijak bila sahabat-sahabatnya tidak senang dengan tindakan nabi memeterai perjanjian Hudaibiyah. Namun, siapa boleh kata itu salah jika perjanjian 10 tahun itu berakhir hanya beberapa tahun sahaja dengan strategi Hudaibiyah itu antara faktor pembukaan Kota Makkah semula.

Pendidikan perlukan perubahan besar. Dinasour pun pandai pupus jika tidak berevolusi mengikut iklim.

SAIFUL NANG
Pengetua Pertama
Akademi Insan Prihatin.
(Sekolah Asnaf & Anak yatim kelolaan RPWP)

Comments

comments

31 Comments on Mengapa pendidikan di Malaysia mundur?

  1. Nurul Ain Ghazali // July 9, 2017 at 10:38 am // Reply

    Membaca tu x salah, sesiapa nak baca 10 rak buku pun itu pilihan mereka. Sebb apa yg sy buat skrng sehingga komen di sini pun hasil daripada membaca. Sebb membaca boleh buat kita spt merantau seluruh dunia. Asbab membaca juga boleh buat manusia tergerak hati utk berubah dan ada anjakan pemikiran. Dalam perkara yg baik akan menarik kebaikan yg lain utk membangunkan lebih banyak kebaikan, insyallah.

  2. Mohd fauzi bin uzairi // December 7, 2016 at 10:58 am // Reply

    Saiful nang merupakan melayu yg berfikiran ke hadapan…beliau seorg yg berani dan tidak takut kpd kegagalan semoga ada melayu lebih ramai spt beliau

  3. MOHAMAD ISHAK MOHAMAD // November 29, 2016 at 8:45 am // Reply

    Pandangan yang amat menarik dan membuka mata. Syukur kerana saya berpeluang untuk membacanya.

  4. Terima kasih. Saya suka baca hasil tulisan Saiful Nang.

  5. MAIZAN RAFIDAH - // November 27, 2016 at 9:58 am // Reply

    Idea ini yang diperlukan sekarang..ramai murid yang tercicir sebab kebolehan yang tidak selari dengan dasar pendidikan sekarang.

  6. Benar…sebodoh dan selembab mn pun anak murid…kalo kt anggap sbg ank sendiri kt xkan tinggal…sgt tepat..cumanya cabaran utk mndidik anak org sptmn anak sendiri sgt besar. Anak sndiri blh dididik dgn tegas dan hukuman yg sewajarnya…tp hari ini guru2 di arah mendidik tanpa sedikit pun mencuit murid dr segi kata2 mahupun perbuatan. Tercuit sikit wpun atas dasar mendidik..maka hebohlah satu nrgara guru diviralkan….hny guru yg tau apa guru terpaksa tempuhi.

  7. Bila ganjaran dikejar hilang segala keikhlasan ! Manusia menilai manusia mana masuk akal !!! Guru kini selesa dengan kerja tapi kurang jelas “Apa yang sedang dilaksanakan olehnya” Kitab khas yg diperturun khas dari pihak atasan sebagai panduan utk mendidik .. fikir sejenak wahai pendidik semua… “kita akan kecewa bila anak didik kita gagal dalam peperiksaan, tetapi adakah kita fikir Nilai insan lebih mulia dari kerjaya kerna akal yg matang belum pasti mempunyai sahsiah yg baik, back to iman !

  8. Sy setuju pendapat anda. Tetapi malangnya pendidikan abad 21 yg dicanangkan. Prasarananya x disediakan. Beli benda bkn2. Itulh sekolah sekarang.

  9. wah..saya suka tetapi saya juga x suka membaca ayat sn ni semua pajang juga..mata saya dah mula rabun..fikiran agak pusing..kalau ada video semua ayat atas tu kan best..bikin serupa cakap ye.. tunggu..saya akan tunggu selagi hidup..hrp akan datang murid miskin dan kotor akan menjadi kaya raya mental, fizikal,emosi, rohani ,sosial dll..Murid kaya, bersih menjadi berguna dan ikhlas membantu kerana mereka bernasib baik dilahirkan begitu..kenakalan pelajar sekarang krn org dewasa cuai dan malap dalam menyalurkan tenaga mereka. yup org dewasa so selfish

  10. Saudara saiful nang… saya sangat setuju dengan corak pembelajaran yang anda canai… sebagai guru yang mrngajar sudah lebih 25 tahun ..saya merasa sudah perlu pendidikan berubah mengikut peredaran zaman… terimakasih kerana menyuarakannya.

  11. Saya guru yg selalu lantang di sekolah utk menganjurkan perubahan. Tapi saya sering dikutuk sebagai suka membangkang dan tidak symp. Dan kejayaan kami hanya diukur melalui prestasi murid dlm peperiksaan. Sedih dan kecewa dgn sistem. Tapi terus jadi guru dan ingin menjadi peransang kepada murid2 terutamanya kelas belakang yg selalu dipinggirkan.

  12. jebat iskandar // November 26, 2016 at 1:30 am // Reply

    Issac newton x penah masuk class math,sains,sejarah,kajian tempatan…
    Tapi,teori die smpai ari nie berguna…

    Ade 2 benda yg sgt sya minat dgn artikel tuan..
    1 – my works speak louder…sya hanya pemegang SPM…dn bkerja dengan diploma holder,degree,master…yg ilmu pnuh di dada…tetapi mereka x boleh implement ilmu mereka dlm kerja.dan individu skill sgt lemah…

    2- buku sbagai rujukan
    Sya seorang technician dlm perkhidmatan awam Dan sya bekerja dgn foreigner,dri german n france…sya gen-y yg x suka baca buku…didikan dri org terdahulu adalah hadam dan hafal kn manual sdang kan foreigner yg bekerja dgn sya x pnah menghafal.mreka oem dan sudah tentu mereka yg mencipta barang trsebut,tetapi mreka akan sentiasa merujuk manual yg mereka cipta,bukan menghafal.membaca bagi mereka bukan didikan tetapi hiburan

  13. Saya cikgu. Dan saya melihat apa yg dibincangkan oleh Tuan adalah benar. Penddsikan kita semakin terkebelakang. Pelajar semakin terbeban dan guru sering dibebankan oleh sistem2 yg tidak releven dan membazir waktu dan duit.

    • benar tu. Tak bawa ke mana-mana

      • ahmad ismail // November 26, 2016 at 8:47 am //

        Terima Kasih kpd tuan yg bnyk berkongsi..saya setuju dgn pernyataan tuan. Sya mengajar subjek BI..bila kita bljr bahasa kita nak guna bahasa tersebut utk berkomunikasi tp sistem sekolah kita fokus kpd nak jwb exam bertulis. Jd pljr yg faham dan blh berkomunikasi dlm BI wlp bkn spt native speakers masih dianggap gagal padahal BI d malaysia hanya 2nd language..hanya pdpt sya yg lemah ni .. kesian budak2 sekolah kg saya..wallahualam..

      • saya tak pandai berbicara dlm english sehingga saya tercampak di bumi asing yang tidak memahami bahasa ibu saya

  14. Anak kembar saya juga dikategorikan sbagai disleksia oleh cikgu dr skolah berprestij tinggi hanya kerana lambat pandai membaca sedangkan mereka hanya mengenal skolah hanya dr darjah satu dan tidak berskolah tadika.sedih dan marah kepada cikgu yg brckap msa tu yg mcm tunjuk bijak tentang ciri2 kanak2 disleksia pdhal dia hnya tahu lpas hadiri kursus sminggu.sya kategori asnaf dan ibu tunggal tak mampu membayar doktor pakar supaya surat dpt dikluarkan untuk mengesahkan ank2 saya dlm kategori disleksia agar pihak skolah bleh meletakkan mereka dlm kelas khas utk ank2 kategori itu Dan sekolah dpt mengekalkan prestasi skolah ptestij tinggi.

    • i feel u…and i feel your kids too

      • Sy seorg guru dan xda yg lbih pnting drpd kebajikan anak2 murid. Pn boleh mohon surat pemeriksaan doktor d hosp kerajaan, di sana juga ada apakr. Sistem pend khas d sekolah juga sama hebat seperti mainstream. Guru2nya juga mahir handle murid dysleksia. Guru mainstream x dilatih membimbing murud dysleksia. Hrp Pn x generalized semua guru sprti yg Pn hadapi. Sekolah hanyalah sistem yg menyediakan pendidikan secara general, bkn khusus mengikut kemahiran sprti yg ibu bapa mahu. Mana2 sistem pend d dunia juga x mengkhususkan kemahiran secara spesifik bg anak2 kecil krn kemahiran n minat mereka berubah2 shgga peringkat remaja dan dewasa.

  15. Hope that SN be a leader in Government…
    30mil Malaysia citizen need to know this.

    Khairul – try to speaking london

  16. Pendidikan skrg terlalu mementingkan pengajaran dlm bilik darjah semata2.. dan guru dipaksa menghabiskan sukatan pelajaran yg sgt byk

  17. Saya baca sampai habis. Kadang2 saya x faham kenapa orang kpm ,ppd pentanbir bercakap pada guru.seolah mereka ni x membaca dan x pwrihatin tentang perubahan pendidikan sekaranh. Isu ni mcm ni la sy selalu bertengkar dgn pengetua. Sedangkan pendidikan bukan sekadar keberadaa murid dan guru di kelas

    • Sharifah Kasmani bt Syed Akil // November 28, 2016 at 7:43 am // Reply

      Satu kaedah dlm pendidikan yg diminta cg2 fikirkn di sek ialah kaedah pendidikan di luar darjah…..itulah yg dilakukan oleh saudara SN….tapi jrang sgt2 cg2 gunakn kaedah ini, krana di sek dihadkn masa mengajar & belajar…..
      Sudh sampai msanya mereka2 yg berkuasa mengubh dsar pendidikn mmikirkan & memperluask kaedah ini…….

  18. MAHADIR MILAHAM // November 25, 2016 at 3:40 pm // Reply

    Terbaik dari ladang tuan SN.

    “Jika kita anggap semua anak murid di sekolah itu anak kita sendiri, sebodoh dan selembab manapun anak kita…tak mungkin kita akan tinggal.”

  19. Terima kasih SN. Saya berjaya baca smpai habis. Penceritaan dan perkongsian yg jelas.

    • Mariana Martin // November 25, 2016 at 2:45 pm // Reply

      Tahniah Tuan Saiful Nang yang dedikasi,
      Saya membaca semua hasil penulisan ini tanpa ada huruf dan perkataan yang tertinggal.

      Saya harap saya juga dapat melibatkan diri dalam usaha memandaikan bangsa.

  20. Luahan yg sangat bernas dan berkesan. Keep sharing your good views Saiful Nang…

1 Trackback / Pingback

  1. Aset – Vicarious Learning

Leave a Reply

%d bloggers like this: